Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Angelina Jolie lawat kem Rohingya di Bangladesh

Bintang Hollywood, Angelina Jolie, melakukan lawatan ke sebuah kem pelarian Rohingya di Bangladesh pada Isnin (4 Feb), menjelang permohonan baru yang akan dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi dana hampir satu bilion dolar bagi menangani jumlah pelarian yang begitu tinggi.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Feb 2019 07:48AM Dikemas Kini : 06 Feb 2019 09:20PM

COX'S BAZAR, BANGLADESH: Bintang Hollywood, Angelina Jolie, melakukan lawatan ke sebuah kem pelarian Rohingya di Bangladesh pada Isnin (4 Feb), menjelang permohonan baru yang akan dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi dana hampir satu bilion dolar bagi menangani jumlah pelarian yang begitu tinggi.

Cik Jolie, seorang utusan khas Agensi Pelarian PBB UNHCR, terus ke kem berkenaan yang terletak di Teknaf, berhampiran sempadan yang memisahkan Bangladesh dengan Myanmar, sejurus selepas beliau tiba di negara Asia Selatan itu. Ia bagi bertemu dengan sebilangan daripada 720,000 Muslim yang melarikan diri menyusuli operasi tentera di Myanmar pada Ogos 2017.

Cik Jolie, 43 tahun, bagaimanapun tidak membuat sebarang komen secara terbuka. Timbalan ketua polis daerah Cox's Bazar, Ikbal Hossain, bagaimanapun memberitahu agensi berita AFP bahawa Cik Jolie akan melakukan lawatan ke kem-kem lain hari ini (5 Feb).

Beliau kini berada di Bangladesh bagi menilai keperluan kemanusiaan seramai sejuta orang Rohingya di kem-kem yang terletak di sekitar bandar Cox's Bazar.

Cik Jolie sebelum ini pernah bertemu dengan para pelarian Rohingya ketika di Myanmar pada Julai 2015 dan di India pada 2006.

Beliau akan menggulung lawatannya ke negara itu dengan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Sheikh Hasina, Menteri Luar AK Abdul Momen serta para pegawai kanan lain di Dhaka, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UNHCR.

Perbincangan-perbincangan yang bakal diadakan akan menumpukan perhatian kepada bagaimana UNHCR boleh menyokong usaha Bangladesh membantu pelarian Rohingya, serta pentingnya untuk mewujudkan "huraian mampan" bagi membantu golongan tersebut, menurut kenyataan itu lagi.

PBB akan melancarkan rayuan antarabangsa baru bagi dana AS$920 juta (S$1.2 bilion) untuk memenuhi keperluan pelarian Rohingya dan masyarakat-masyarakat yang menawarkan tempat berteduh bagi mereka.  

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan