Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

‘Anakanda kami... ok’ kata ibu Aliff Aziz, terutama selepas jumpa anaknya Ayden Adrean

Penyanyi dan pelakon tinggi lampai, Aliff Aziz, sudah pulang ke rumah rumah dan dalam keadaan baik-baik sahaja.

Anggaran Waktu Membaca:
‘Anakanda kami... ok’ kata ibu Aliff Aziz, terutama selepas jumpa anaknya Ayden Adrean

Petikan gambar dari video menunjukkan Aliff Aziz bersama anaknya.

BERITAmediacorp: Penyanyi dan pelakon tinggi lampai, Aliff Aziz, sudah pulang ke rumah dan dalam keadaan baik-baik sahaja.

Demikian menurut catatan yang dimuat naik ibunya, S Hafiza Basharahil, di laman Facebook menyusuli insiden anaknya ditangkap polis di Orchard Road pada Ahad (10 Nov) kerana mengganggu ketenteraman awam apabila dalam keadaan mabuk.

BERITAmediacorp difahamkan catatan yang sama dimuat naik terlebih dahulu di laman Instagram beliau hampir pukul 12.00 tengah malam pada hari yang sama. Ini mungkin bermakna, Aliff tidak ditahan lama di balai polis.

Sebelum itu, BERITAmediacorp sudah menghubungi polis untuk mendapatkan kepastian namun pihak polis belum bersedia memberikan sebarang komen memandangkan siasatan kes tersebut masih dijalankan.

Catatan ibu Aliff itu berbunyi: “Pada yang bertanya tentang anakanda kami @aliffaziz91 alhamdulillah berkat dari doa yang ramai dia ok.”

Cik Hafiza menambah, keadaan Aliff baik-baik sahaja lebih-lebih lagi setelah berjumpa dengan anak lelakinya, Ayden Adrean.

“Setiap yang berlaku dalam hidup kita ada hikmahnya dan hanya Allah saja yang tahu apa yang tidak kita ketahui. Semoga kita bersimpati kepada orang lain dan bukan menghakimi mereka. Terima kasih dari kami kepada mereka yang sentiasa mendoakan,” menurut Cik Hafiza lagi.

Catatan tersebut dimuat naik bersama sebuah video, yang menunjukkan Aliff sedang mendukung Ayden. Dalam video sepanjang lebih empat minit itu, Aliff dilihat mengusik, bermain dan berkali-kali mencium anaknya. Bekas isterinya Bella Astillah juga dapat dilihat dalam rakaman video tersebut.

Pada pagi Ahad (10 Nov), dua buah video menjadi viral di media sosial, menunjukkan Aliff cuba melarikan diri dan meronta-ronta apabila pegawai polis yang cuba menangkapnya.

Menurut kenyataan polis, nafas lelaki berusia 28 tahun yang ditangkap itu berbau arak dan dia enggan bekerjasama meskipun diarahkan bertenang dan meleraikan pergaduhan antara dirinya dengan seorang lagi lelaki yang tidak dikenali.

Sementara itu, ibu Aliff itu turut berkongsi sebuah video Facebook yang menyejukkan hati. Dalam video itu, Aliff dirakamkan sedang membaca 18 potong ayat dari surah Ar-Rahman yang dihafalnya.

Penyanyi dan penyampai radio Zayan dari Malaysia bernama Raqib Majid berada di sisinya dalam video itu, yang dipercayai dimuat naik asalnya pada Julai tahun lalu.

Aliff juga sedang berdepan dua pertuduhan mencuri dan sebutan seterusnya kes tersebut dijadual berlangsung pada Selasa depan (19 Nov).

BERITAmediacorp juga sudah mencuba untuk menghubungi peguam Aliff bagi mendapatkan maklumat lanjut, namun belum ada respons. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan