Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Amyra Rosli awalnya belum sedia kembali berlakon, namun tertarik dengan 'Nur'

Pelakon Amyra Rosli mendedahkan beliau sebenarnya enggan menerima tawaran berlakon menerusi drama popular 'Nur' yang ditayangkan di TV3 sepanjang Ramadan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Amyra Rosli awalnya belum sedia kembali berlakon, namun tertarik dengan 'Nur'

(Gambar: @aamyrarosli/ Instagram)

Diterbitkan : 22 Jun 2018 09:21AM Dikemas Kini : 22 Jun 2018 09:29AM

KUALA LUMPUR: Pelakon Amyra Rosli mendedahkan beliau sebenarnya enggan menerima tawaran berlakon menerusi drama popular 'Nur' yang ditayangkan di TV3 sepanjang Ramadan lalu.

Ketika mendapat tawaran itu, Amyra masih belum bersedia kembali beraksi memandangkan baru sahaja melahirkan anak sulungnya, Aqeef Anaqi.

"Sudah setahun lebih saya tidak berlakon kerana hamil dan melahirkan anak jadi apabila mendapat tawaran itu saya sebenarnya belum bersedia.

"Bukan apa Aqeef ketika itu baru sahaja berusia lima bulan jadi saya ingin beri tumpuan kepada anak terlebih dahulu.

Amyra Rosli bersama anaknya. (Gambar-gambar: @aamyrarosli/ Instagram)

"Tetapi Alhamdulillah saya bersyukur kerana bersetuju menerima tawaran itu dan ia mendapat sambutan sangat baik daripada penonton," katanya kepada mStar.

INGIN TAHU LANJUTAN CERITA SELEPAS BACA SIPNOSIS

Dalam pada itu, Amyra berkata, beliau tertarik untuk berlakon dalam Nur selepas membaca sinopsis jalan ceritanya kerana merasakan ia sebuah naskhah berbeza daripada kebanyakan karya sedia ada.

"Sejak bersalin banyak tawaran berlakon tetapi semuanya saya tolak. Namun, Nur ada tarikan dan aura yang membuatkan saya bersetuju.

"Tambahan pula selepas saya baca sinopsis yang diberikan oleh pengarah dan saya jadi ingin lebih tahu tentang jalan cerita seterusnya," katanya.

Malah kata Amyra, barisan pelakon lain yang disifatkan sebagai hebat juga membuatkan beliau lebih tertarik untuk menyertai barisan pelakon drama itu.

"Siapa yang tidak mahu berlakon disamping Norkhiriah, Fatimah Abu Bakar, Datuk Jalaluddin Hassan, Azhan Rani dan Syafiq Kyle?

"Melihat kepada barisan pelakonnya sahaja sudah membuatkan saya cukup teruja dan enggan melepaskan peluang keemasan ini," katanya seperti ditukil mStar.

TIDAK HARAPKAN MENANG ANUGERAH

Sementara itu, diminta mengulas mengenai cakap-cakap netizen yang menjangkakan beliau akan memenangi trofi pelakon terbaik atas kecemerlangannya membawa watak sebagai Nur, Amyra tidak mengharapkan balasan atas usahanya.

Sebaliknya kata Amyra, beliau sudah berasa cukup berpuas hati apabila lakonannya itu disukai ramai kerana ia menunjukkan beliau sudah melunaskan tugasnya dengan baik.

"Sejujurnya saya harus beri penghargaan kepada pengarah, Shahrulezad kerana dia banyak membantu bagi membolehkan saya membawa watak Nur dengan lebih menyerlah.

"Sebelum ini saya banyak pegang watak anak orang kaya tetapi dalam Nur dia berjaya mengubah saya seratus peratus sehinggakan peranan saya itu secalit bedak pun saya tidak pakai.

"Jika tidak kerana dia, saya sendiri pun mungkin tidak berani untuk melakukannya tetapi dia nampak potensi saya dalam menzahirkan watak Nur," jelasnya.

Menurut mStar, 'Nur' yang ditayangkan menerusi slot Samarinda mendapat rating sebanyak 11 juta tontonan menerusi 19 episod yang ditayangkan manakala 500,000 menonton di Internet. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan