Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Amy Search terkilan tidak dapat bersama anggota Search hadir ke pengebumian Yazit

Vokalis utama Search, Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy Search, mengucapkan takziah atas pemergian pemain dram kugiran tersebut iaitu Yazit Ahmad.

Anggaran Waktu Membaca:
Amy Search terkilan tidak dapat bersama anggota Search hadir ke pengebumian Yazit

Allahyarham pemain dram Search, Yazit Ahmad. (Gambar: Suhaimi A Rahman/Instagram)

Diterbitkan : 27 Sep 2019 11:28AM Dikemas Kini : 27 Sep 2019 11:31AM

KUALA LUMPUR: Vokalis utama Search, Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy Search, mengucapkan takziah atas pemergian pemain dram kugiran tersebut iaitu Yazit Ahmad.

Allahyarham, berusia 57 tahun, menghembuskan nafas terakhir pukul 11.53 pagi pada Khamis (26 Sep).

“Saya dengan rendah hati menyampaikan salam takziah ke atas kepulangan Yazit ke Rahmatullah hari ini (Khamis).

“Semoga segala amalannya sepanjang di dunia diperhitungkan dan roh beliau dicucuri rahmat,” ucap Amy Search dalam kenyataan rasmi yang diberikan kepada pihak media semalam.

Amy juga memohon maaf kerana tidak dapat menziarahi dan menghadiri upaca pengebumian Allahyarham Yazit kerana kini berada di Jakarta, Indonesia.

Vokalis berkenaan terikat dengan tanggungjawabnya sebagai pengulas di program 'Golden Memories Asia' untuk siaran Indosiar di Jakarta, Indonesia, lapor Astro Awani.

“Saya meminta maaf kerana masih perlu melunaskan tanggungjawab sebagai komentator bagi Golden Memories Asia yang masih akan bersiaran langsung pada malam ini.

“Sekali lagi, salam takziah buat seluruh keluarga Yazit. Semoga tabah menghadapi pemergiannya,” ungkap Amy lanjut.

Pemain gitar bes Search, Nasir Taib yang juga pengasas utama kugiran terkemuka tanah air itu bersama Allahyarham Yazit, berkata pihaknya menerima panggilan daripada Amy semalam di mana beliau menyuarakan permohonan maaf kepada kesemua anggota kumpulan dan ahli keluarga Allahyarham kerana tidak sempat pulang disebabkan tuntutan kerja.

Menurut Nasir, Amy juga berasa terkilan kerana tidak dapat bersama dengan seluruh anggota Search bagi menziarahi jenazah Allahyarham Yazit.

"Saya berpesan kepada Amy sekiranya sempat pulang, maka cubalah pulang kerana kesemua ahli kumpulan Search sudah bersaudara sejak 40 tahun lalu

"Sekiranya sempat, baliklah dan jika tidak, saya anggap ini ketentuan takdir. Apapun, selama 40 tahun kami susah senang bersama, setiap ahli keluarga Search tiada galang ganti dan saya tidak dapat terima apabila kami tidak lengkap," ujar Nasir menahan sebak.

"Kehilangannya memberi kesan besar dalam hidup saya kerana Allahyarham Yazit merupakan tangan dan kanan saya sepanjang memperjuangkan muzik kumpulan Search sejak 40 tahun lalu."

Kumpulan Search. (Gambar: Search (Malaysian Band)/Facebook)

Allahyarham Yazit dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 3.45 pagi Selasa lalu selepas mengadu sesak nafas di rumahnya dekat Taman Melati Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Allahyarham pernah dimasukkan ke hospital yang sama pada awal September akibat masalah pernafasan.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudathul Sakinah Taman Selasih selepas solat Asar semalam.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Cik Ramlah Ahmad, 59 tahun, dan tiga orang anak iaitu Razilah, 38 tahun; Shahmirnuri, 34 tahun, dan Shafiqa Nurlis, 29 tahun. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan