Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Amitabh Bachchan dirawat di hospital; selar berita palsu tidak bertanggungjawab

Pelakon Bollywood terkenal Amitabh Bachchan sedang dirawat di Hospital Nanavati di Mumbai bagi jangkitan COVID-19. Turut dirawat sama adalah anaknya Abhishek dan menantu beliau Aishwarya Rai Bachchan, lapor stesen televisyen New Delhi (NDTV).

Anggaran Waktu Membaca:
Amitabh Bachchan dirawat di hospital; selar berita palsu tidak bertanggungjawab

(Gambar: Sujit Jaiswal/AFP)

Diterbitkan : 25 Jul 2020 12:46PM Dikemas Kini : 25 Jul 2020 12:52PM

NEW DELHI: Pelakon Bollywood terkenal Amitabh Bachchan sedang dirawat di Hospital Nanavati di Mumbai bagi jangkitan COVID-19. Turut dirawat sama adalah anaknya Abhishek dan menantu beliau Aishwarya Rai Bachchan, lapor stesen televisyen New Delhi (NDTV).

Beliau menulis di Twitter sehari sekali untuk mengucapkan terima kasih kepada para peminat yang memberikan kata-kata perangsang.

Malam semalam (24 Jul), veteran Bollywood itu memuatnaikkan gambar-gambar lama semasa sesi bertemu peminat di luar rumahnya, berserta dengan catatan yang berbunyi: "Sokongan dan kasih sayang yang anda berikan adalah kekuatan bagi saya... Ini, tidak akan sesekali luput daripada ingatan saya. Jadi tolonglah saya Tuhan."

Menantu perempuan Amitabh Bachchan, Aishwarya Rai Bachchan yang juga positif COVID-19, sebelum ini menjalani pengasingan di rumah. Namun beliau kemudian dimasukkan ke hospital minggu lalu. Isteri beliau, Jaya Bachan bagaimanapun diuji negatif virus itu.

Pada Khamis (23 Jul), beberapa laporan berita melaporkan bahawa pelakon berusia 77 tahun itu diuji negatif jangkitan COVID-19. Namun, pelakon itu menyifatkan laporan-laporan berita bahawa beliau diuji negatif COVID-19 sebagai "tidak benar, tidak bertanggungjawab, palsu dan satu pembohongan sama sekali.

Amitabh Bachchan aktif mengongsi perkembangan terkini beliau melalui catatan-catatannya di media sosial. Beliau mengucapkan terima kasih kepada para peminat dan pihak-pihak yang memberikan kata-kata perangsang dalam beberapa catatan beliau. Dalam satu catatan yang dibuat secara berasingan, beliau mengucapkan terima kasih kepada para kakitangan perubatan dan jagaan kesihatan.

BANGLO MILIK AMITABH BACHCHAN DIKAWAL KETAT

Sementara itu, kesemua empat banglo milik Encik Bachchan - Pratiksha, Janak, Vatsa dan Jalso (di mana beliau tinggal bersama keluarganya) - diletakkan di bawah pengasingan oleh Perbadanan Perbandaran Brihanmumbai (BMC). Selain hartanah Encik Bachchan, banglo milik pelakon Rekha yang terkenal, juga dikenakan pengasingan selepas pengawal keselamatan beliau disahkan dijangkiti COVID-19.

Pelakon Aamir Khan dan penerbit filem Karan Johar dan Boney Kapoor sebelum ini juga mengumumkan bahawa kakitangan mereka diuji positif virus itu.

Beberapa bintang televisyen Hindustan juga baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka dijangkiti COVID-19. 

Sumber : Agensi berita/AY/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan