Images
  • alleycats 5
    Konsert 50 Tahun Bersama Alleycats, Konsert Terima Kasih, pada 2 Februari. (Gambar-Gambar: Jive Events)

Alleycats hadiahkan sehingga 4 lagu encore dalam konsert di S’pura

BERITAmediacorp: “Terimakasih!” Itulah ungkapan yang sesuai diberikan kepada kumpulan Alleycats kerana berjaya mengembalikan memori para peminat dengan persembahan lagu-lagu nostalgia mereka di konsert 50 Tahun Bersama Alleycats, Konsert Terima Kasih pada Sabtu malam (2 Feb).

Mereka yang hadir menyaksikan konsert yang meraikan 50 tahun kumpulan itu ditubuhkan, rata-rata tidak berasa kecewa. Alleycats memulakan persembahan set pertama mereka dengan lagu balada berjudul Suara Kekasih yang mendapat tepukan gemuruh dari audiens apabila vokalis utama, David Arumugam muncul di pentas.


Untuk mengimbangi repertoire lagu-lagu mereka, Alleycats turut mempersembahkan lagu-lagu rancak hits mereka seperti Hingga Akhir Nanti dan Sekiranya Ku Tahu. Ia membuat penonton mendapat mood dahulu sebelum mereka disajikan dengan lagu-lagu popular lain kumpulan unggul tersebut.

Dengan reputasi Alleycats yang malar segar, maka tidak hairanlah khalayaknya juga ramai yang veteran juga. Konsert yang berlangsung selama hampir 2 jam 15 minit itu turut dihadiri oleh suami kepada Presiden Halimah Yacob, Encik Mohamed Abdullah Alhabshee serta Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli.


David turut dibantu oleh salah seorang anggota kumpulan Alleycats bernama Saiful yang turut digelar “botak”oleh David apabila Saiful membawakan lagu berjudul Istana Pasir. Saiful turut menyumbangkan suara untuk lagu Rayuan Di Puncak Genting.

Sebagai penyanyi yang luas pengalaman, David berupaya membuat peminat-peminat mereka terhibur dengan aksi beliau yang sangat bersahaja dan melucukan apabila bergurau.

Berulang kali juga David membalas kata dengan mengatakan “ Jangan Lawan Tauke” setiap kali audiens memekik ungkapan Terimakasih sebelum vokalis tersebut mula menyanyikan lagu sepanjang konsert anjuran Jive Events & Entertainment itu.

Peminat-peminat di Singapura turut dapat melihat persembahan anak kepada mendiang Loganathan (Loga) Arumugam iaitu Dasha Logan menerusi lagu-lagu hits yang pernah dibawakan oleh bapanya seperti Jika Kau Bercinta Lagi, Hatiku Kau Luka, Suratan dan Berjuta-Batu.


Sekali-sekala Dasha berbual dengan pakciknya, David Arumugam dalam bahasa Tamil. Meskipun penonton tidak faham bahasa Tamil, penonton begitu sporting dan menepuk tangan mereka kerana terhibur dengan gelagat mereka itu.

Ternyata, kekuatan vokal Dasha Logan mempesonakan seperti mendiang bapanya kerana beliau berjaya menyampaikan lagu-lagu mendiang bapanya yang diterima dengan baik oleh audiens pada malam tersebut.

Konsert semakin dirancakkan apabila David membawakan lagu hits mereka berjudul Senandung Semalam sehingga mendapat tepukan gemuruh dari peminat. Mungkin juga lagu tersebut antara lagu yang dinantikan oleh mereka yang hadir menyaksikan konsert tersebut.


Terbukti pada usia 68 tahun, David Arumugam tetap mengancam. Kekuatan vokal penyanyi tersebut tidak perlu dipertikaikan lagi kerana peminat seakan disajikan dengan suara dari cakera padat album Alleycats. Sebiji seperti suara David dalam kaset juga, kata seorang peminat.

Sepanjang persembahan mereka, tidak sekali pun terlihat David duduk di atas pentas. Itulah antara kekuatan penyanyi tersebut yang bertahan berdiri sahaja pada malam tersebut.

Penonton dapat melihat David merupakan seseorang yang gemar bergurau dengan audiens meskipun secara spontan. Secara selamba sahaja beliau akui terlupa lirik lagu tanpa segan-silu seperti untuk lagu Kerana Kau. Namun, peminat seakan tidak kesah dengan pengakuan ikhlas vokalis tersebut.

Kumpulan Alleycats turut mempersembahkan lagu-lagu hits mereka pada set yang kedua yang pernah menjadi siulan penggemar muzik seperti Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi, Seribu Bintang, Sampaikanlah Salam, Kisah Kau Dan Aku, Andainya Aku Pergi Dulu, Nota Terakhir, Tahun 60-an dan sebuah lagu joget, Joget Tersalah Pikat.


Menariknya juga, David Arumugam memikat hati para peminat dengan aksinya kerap menyapa beberapa kali peminat-peminat yang turut duduk di aras atas dewan tersebut.

Ini jarang sekali dilakukan oleh penyanyi-penyanyi lain yang mungkin akan menyapa sekali sahaja peminat yang berada di aras atas dewan. Secara tidak langsung, ia mendekatkan mereka kepada David juga.

Alleycats turut memberi bonus dengan menambah empat buah lagu encore termasuk sebuah lagi lagu hits mereka berjudul Layang-Layang Terputus Tali sehingga peminat tidak mahu berganjak dari tempat duduk mereka meskipun konsert telah tamat.


David Arumugam yang ditemui BERITAmediacorp sejurus selepas konsert itu mengatakan Alleycats berpuas hati dapat berinteraksi dan berjenaka dengan peminat-peminat di Singapura. Terangnya:

“Kami selalu ingin audiens sertai bersama sebab malam itu adalah ‘show’ mereka, bukan kami. Sesuatu yang indah melihat mereka menyanyi. Seronok bagi mereka dan seronok bagi kami juga. Lagipun, bukan selalu kami dapat berinteraksi dengan peminat.”

Tambah beliau lagi, adalah wajar untuk memberikan kembali kepada peminat-peminat mereka menerusi lagu-lagu Alleycats untuk konsert mereka kerana tanpa peminat-peminat, Alleycats tidak akan berada di Singapura pada malam tersebut.

“Mereka benar-benar fantastic. Terimakasih!” katanya gembira.


Apa pula rahsia penyanyi itu berjaya membawakan lagu-lagu Alleycats dengan penuh bertenaga dalam usia 68 tahun?

“Tiada rahsia, hanya terletak pada peminat-peminat kami yang hadir. Mereka berikan saya mood, semangat dan kekuatan. Saya sangat sayang mereka.“

Kali ini, David Arumugam ditemani oleh anak lelakinya, Jonathan yang bertindak selaku pengurus Alleycats menggantikan isterinya, Sabrina memandangkan isterinya tidak sihat sejak kebelakangan ini.

“Saya sempat hubungi dia (isteri) dan katakan semuanya ok tadi. Dia gembira,” kongsi David Arumugam mengakhiri temu bual ringkas bersama BERITAmediacorp selepas konsert. 

- BERITAmediacorp/ai

Top