Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Aliff Aziz mengaku bersalah atas 2 tuduhan – mencuri dan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam

Aliff tampil di Mahkamah Negara pagi tadi dalam keadaan kemas berbaju putih, sambil ditemani ibunya, S Hafiza Basharahil.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pelakon dan penyanyi Aliff Aziz hari ini (7 Ogos) mengaku bersalah atas dua tuduhan - mencuri dan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam. Satu lagi pertuduhan diambil dalam pertimbangan.

Aliff tampil di Mahkamah Negara pagi tadi dalam keadaan kemas berbaju putih, sambil ditemani ibunya, S Hafiza Basharahil.

Menurut kertas pertuduhan yang dibacakan kepada Aliff sebelum pengakuan bersalah dibuat tadi, tuduhan pertama adalah bagi mencuri wang sebanyak S$300 dan 1 juta rupiah (S$94) milik seorang pelakon dan ahli politik Indonesia.

Aliff Aziz tiba di Mahkamah Negara ditemani ibunya, 7 Ogos. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Menurut Hakim Victor Yeo, bagi pertuduhan pertama ini Aliff boleh dikenakan hukuman "penjara mandatori".

Pertuduhan kedua adalah bagi kelakuan tidak senonoh dengan menjerit-jerit dan menunjukkan isyarat-isyarat menggunakan tangan semasa berada di tempat awam.

Hakim menambah, bagi pertuduhan kedua ini, Aliff boleh dikenakan denda tidak melebihi S$2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan ketiga yang diambil dalam pertimbangan adalah mencuri sekotak rokok Marlboro dan pemetik api.

Apabila Hakim Victor Yeo bertanya sama ada Aliff memahami pertuduhan dan hukuman yang boleh dikenakan ke atasnya, dia mengangguk dan menjawab "ya”. Aliff kemudian mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencuri dan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.

(Gambar-gambar: Petikan daripada video di media sosial)

(Gambar-gambar: Petikan daripada video di media sosial)

Dalam rayuan bagi hukuman yang lebih ringan bagi pertuduhan pertama, peguam bela Aliff, Encik Muralli Pillai, meminta agar Hakim menimbangkan hukuman penjara antara satu dengan empat minggu bagi pertuduhan pertama. Ini "memandangkan jumlah wang yang terlibat dalam pertuduhan tersebut dan ia sudahpun dipulangkan", kata Encik Muralli.

Namun pihak pendakwa berhujah bahawa perbuatan Aliff memudaratkan mangsa, seorang warga Indonesia. Ini kerana beliau seorang pelancong di Singapura dan kehilangan wang akibat dicuri serta "menyusahkan" beliau.

Encik Murali kemudian berkata Aliff amat kesal di atas perbuatannya itu dan mengulangi lagi bahawa wang sudahpun dipulangkan.

Bagi pertuduhan kedua berhubung kelakuan tidak senonoh di tempat awam, Encik Murali menekankan bahawa tiada sebarang kecederaan atau kerosakan yang berlaku akibat perbuatan Aliff.

Aliff Aziz di Mahkamah Negara hari ini, 7 Ogos. (Gambar: BERITAmediacorp/nk)

Keadaan mental Aliff pada waktu kejadian bagi kedua-dua pertuduhan juga disifatkan oleh Encik Murali, yang merujuk kepada laporan perubatan ke atas Aliff, sebagai "mengalami masalah psikiatri".

Hakim kemudian mengarahkan Aliff dirujuk ke Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk menjalani pemeriksaan psikiatri untuk mengetahui sama ada Aliff boleh diletakkan di bawah Arahan Rawatan Mandatori (MTO)

Di bawah Arahan Rawatan Mandatori, pesalah yang didapati mengalami masalah psikiatri yang boleh dirawat akan diarahkan menjalani MTO sebagai ganti hukuman penjara.

Aliff akan kembali dihadapkan ke mahkamah pada 14 September nanti untuk mendengar hukuman ke atasnya dijatuhkan.

CURI WANG AHLI POLITIK INDONESIA KERANA PERLU WANG

Sekitar pukul 12.00 tengah malam pada 7 Jun 2019, Aliff bertemu dengan seorang pelakon dan ahli politik Indonesia bernama Raja Yunika Perdhana Putri , 32 tahun, di Hotel Studio M yang terletak di 3 Nanson Road.

Pertemuan itu bertujuan untuk mereka berbincang bagaimana Raja Yunika boleh membantu memperluaskan kerjaya nyanyian Aliff ke Indonesia.

Selepas berbincang, Raja Yunika naik ke tingkat dua biliknya, sekitar pukul 1.00 pagi untuk berehat. Beliau bagaimanapun meninggalkan begnya di tingkat satu bilik itu.

Semasa Raja Yunika berehat, Aliff membuka beg beliau dan mengambil wang sebanyak S$300 dan 1 juta rupiah (S$94.50), sebelum meninggalkan bilik tersebut.

Apabila Raja Yunika bangun kira-kira pukul 3.00 pagi beliau mendapati wangnya sudah tiada. Namun apabila beliau bertanya kepada Aliff menerusi panggilan telefon, Aliff tidak mengaku.

Raja Yunika kemudian membuat aduan polis.

Aliff kemudian mengaku mencuri wang tersebut kerana dia memerlukan wang, yang kemudian digunakan untuk membeli makanan dan sebagai tambang pengangkutan.

Aliff sudahpun membayar balik wang sebanyak S$400 kepada Raja Yunika.

Aliff Aziz. (Gambar-gambar: Instagram/Aliff Aziz)

Aliff Aziz. (Gambar-gambar: Instagram/Aliff Aziz)

TERUS CETUS KEKECOHAN DI TEMPAT AWAM, MESKI DIARAH BERTENANG

Sekitar pukul 4.00 petang pada 10 November 2019, seorang pegawai polis yang juga saksi kes - Sarjan Lee Qi Theodore - tiba di Orchard Tower bersama rakan sejawatannya untuk menjalankan tugas.

Pada pukul 5.30 pagi, Lee terdengar bunyi bising.

Beliau kemudian ternampak Aliff , yang sedang dalam keadaan mabuk, menjerit-jerit serta menunjukkan isyarat tangan ke arah seorang individu lain. Kedua-duanya dikerumuni orang ramai, yang sebahagian daripadanya cuma untuk menenangkan keadaan.

Lee kemudian menghampiri Aliff dan menasihatinya agar bertenang. Aliff kemudian bertenang dan berlalu pergi.

Lee dan rakannya mengekori Aliff dari jauh untuk memastikan dia tidak mencetuskan kekecohan lagi. Bagaimanapun, sekitar pukul 6.25 pagi, Aliff mengulangi lagi perbuatannya.

Aliff juga menghampiri sebuah teksi dan menendang bahagian kiri hadapan teksi tersebut. Namun tiada kerosakan berlaku pada teksi itu.

Meskipun Lee sekali lagi menyuruh Aliff bertenang, kali ini dia tidak menghiraukan arahan itu.

Aliff kemudian bertembung dengan seorang kenalannya dan berjalan bersama. Sekalipun demikian, Aliff dan kenalannya itu tiba-tiba bergelut dan mula saling menolak antara satu sama lain serta menjerit-jerit.

Lee dan rakannya kemudian menangkap Aliff.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan