Images
  • aliff aziz
    (Gambar-gambar: Petikan daripada video di media sosial)

Aliff Aziz ditangkap ganggu ketenteraman awam ketika mabuk di Orchard Road

SINGAPURA: Penyanyi dan pelakon Aliff Aziz ditangkap hari ini (10 Nov) kerana mengganggu ketenteraman di tempat awam ketika dalam keadaan mabuk.

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp mengenai dua video viral, membabitkan penyanyi tersebut, Pasukan Polis Singapura (SPF) mengesahkan bahawa seorang lelaki berusia 28 tahun ditangkap.


Polis menambah, lelaki itu didapati bergaduh dengan seorang lagi lelaki lain sekitar pukul 6.40 pagi tadi di kawasan Orchard Road.

Walaupun diarahkan supaya bertenang dan meleraikan pergaduhan itu, dia yang nafasnya berbau arak, enggan memberikan kerjasama dan terus mencetuskan kekecohan.

"Dia kemudian ditangkap kerana mengganggu ketenteraman awam apabila mabuk, di bawah Seksyen 14(2)(b) Akta Kawalan Arak. Lelaki itu juga bergelut dengan para pegawai semasa mereka cuba menangkapnya. Siasatan polis masih dijalankan," menurut kenyataan polis.

Petang tadi, dua video yang menunjukkan Aliff Aziz bergelut dengan pegawai polis di kawasan Orchard Road menjadi viral di media sosial.

Dalam video pertama, Aliff dilihat bergelut dengan dua pegawai polis di persimpangan jalan Claymore Road dan kejadian itu disaksikan oleh orang ramai.


Buat seketika Aliff berjaya meloloskan diri dari pegawai tersebut dan cuba melarikan diri. Pegawai berkenaan bagaimanapun berjaya mengejar dan menahannya sebelum mereka berdua terjatuh di tepi jalan raya.

Sepanjang kejadian yang dilihat dalam video pertama, suara seorang wanita boleh didengar memberikan penjelasan tentang apa yang sedang berlaku dan puncanya. Namun, tidak jelas siapakah wanita tersebut.

Menurut komentar wanita itu, Aliff dilihat "cari pasal" dengan beberapa orang. Seorang lelaki tidak dikenali juga dikatakan menumbuk Aliff. Wanita itu menambah, beliau tidak pasti apa yang dikatakan Aliff sehingga diserang lelaki tersebut.

Dalam video kedua pula, Aliff dilihat masih bergelut dengan dua orang pegawai polis yang cuba untuk menggari tangan penyanyi tinggi lampai itu.

Aliff juga menjerit-jerit kepada polis, meminta agar mereka bercakap dengan bapanya. Sedang polis cuba untuk memusingkan Aliff ke posisi meniarap untuk menggari tangannya, Aliff dilihat memegang telefon bimbit dan bercakap dengan seseorang yang dipanggil "ayah".

Dia kedengaran bersungguh-sungguh memberitahu ayahnya bahawa "ada orang pukul abang", merujuk kepada dirinya sendiri. Dia mengulangi ayat itu sebanyak empat kali dan akhirnya merayu "ayah tolong abang ayah!".

Dua kereta polis kemudian tiba di lokasi kejadian dan tiga lagi pegawai polis bergegas membantu dua pegawai di tempat kejadian yang masih cuba menggari Aliff.

Aliff bakal dihadapkan di Mahkamah Negara pada 19 November nanti bagi sebutan kes curi, di mana dia dituduh mencuri wang milik seorang pelakon dan ahli politik Indonesia bernama Raja Yunika Perdhana Putri.

Dia juga berdepan satu lagi kes mencuri sekotak rokok Marlboro dan pemetik api milik seorang lelaki di Starbucks Plaza Singapura.

LAPORAN BERKAITAN: 

- BERITAmediacorp/fz

Top