Images
  • Aliff Aziz
    Aliff Aziz. (Gambar-gambar: Instagram/Aliff Aziz)

Aliff Aziz dihadapkan ke mahkamah atas 2 tuduhan curi duit serta rokok, pemetik api

SINGAPURA: Penyanyi dan pelakon Aliff Aziz didakwa di mahkamah atas dua tuduhan mencuri dalam dua kes berasingan. Satu kes dikatakan berlaku tahun ini dan satu lagi berlaku pada tahun lalu.

Menurut kertas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya di mahkamah pada Selasa (3 Sep), Aliff dituduh mencuri wang sebanyak S$300 dan 1,000,000 Rupiah (S$98) milik seorang wanita Indonesia bernama Raja Yunika Perdhana Putri. Beliau ialah seorang pelakon dan ahli politik Indonesia yang berada di Singapura ketika itu.

Kejadian itu dikatakan berlaku pada 7 Jun 2019 antara pukul 12.00 tengah malam dengan 3.00 pagi di salah satu bilik di Hotel Studio M yang terletak di 3 Nanson Road.

Pada Jun lalu, Raja Yunika membuat aduan polis, mendakwa dirinya menjadi mangsa curi oleh “seorang penyanyi terkenal kelahiran Singapura” digelar AA atau Aliff Aziz.

Jika sabit kesalahan bagi tuduhan tersebut, Aliff boleh dikenakan dengan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.


ALIFF DITUDUH CURI ROKOK MARLBORO

Menurut kertas pertuduhan kedua yang dikenakan ke atasnya pula, Aliff, 28 tahun, didakwa mencuri sekotak rokok Marlboro dan pemetik api di Starbucks di Plaza Singapura pada 6 Ogos 2018.

Kedua-dua barang milik seorang lelaki bernama Gurwinder Singh S/O Harwindar Singh itu secara keseluruhannya bernilai $15.60. Perbuatan tersebut dikatakan dilakukan pada pukul 4.45 pagi.

Bagi kesalahan mencuri ini, penyanyi tersebut boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Aliff dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak S$5,000. Kesnya akan didengar lagi pada 1 Oktober nanti.

LAPORAN LAIN: 

- BERITAmediacorp/nk

Top