Images

Aliff Aziz didakwa di mahkamah atas tuduhan ke-3 - berkelakuan tidak senonoh di tempat awam

SINGAPURA: Penyanyi dan pelakon Aliff Aziz didakwa di mahkamah atas satu lagi pertuduhan. Iaitu bagi kelakuan tidak senonoh dengan menjerit-jerit dan menunjukkan isyarat-isyarat menggunakan tangan semasa berada di tempat awam.

Menurut kertas pertuduhan mahkamah, Aliff berkelakuan begitu di kawasan Orchard Towers, di Orchard Road kira-kira pukul 6.25 pagi pada 10 November lalu.

Tuduhan tersebut dikenakan terhadapnya Aliff di Mahkamah Negara semalam (18 Nov). Jika sabit kesalahan bagi kes ketiga ini, Aliff boleh didenda tidak melebihi S$2,000 atau dipenjara tidak melebihi tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Kes terbaru ini bermakna Aliff kini berdepan tiga tuduhan secara keseluruhannya termasuk dua tuduhan mencuri yang dikenakan ke atasnya pada 3 September.

Dia dituduh mencuri wang milik seorang pelakon dan ahli politik Indonesia bernama Raja Yunika Perdhana Putri dan satu lagi kes mencuri sekotak rokok Marlboro dan pemetik api milik seorang lelaki di Starbucks Plaza Singapura.

Bagi kedua-dua kes curi itu, Aliff sepatutnya dihadapkan ke mahkamah hari ini (19 Nov). Namun ditangguhkan kerana ada tuduhan ketiga itu.

Lebih seminggu lalu (10 Nov), Aliff ditangkap di Orchard Road kerana mengganggu ketenteraman awam. Dua buah video yang menunjukkan Aliff meronta-ronta dan meminta tolong “ayah” juga menjadi viral di media sosial pada hari yang sama.

Menurut kenyataan polis, dia enggan memberikan kerjasama dan terus mencetuskan kekecohan meskipun diarahkan agar bertenang dan meleraikan pergaduhan yang berlaku antaranya dengan seorang lelaki yang tidak dikenal pasti. Polis juga menyatakan, nafasnya berbau arak.

Sebutan seterusnya kes Aliff Aziz dijadual berlangsung pada 9 Disember 2019.

LAPORAN BERKAITAN:

- BERITAmediacorp/nk

Top