Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Album baru Siti Nurhaliza muatkan rakaman semula lagu Sudirman

Penyanyi tersohor Malaysia, Siti Nurhaliza, bakal merakamkan semula lagu dendangan penghibur terkenal, Allahyarham Sudirman Arshad, berjudul Teratai Menjelma.

Anggaran Waktu Membaca:
Album baru Siti Nurhaliza muatkan rakaman semula lagu Sudirman

(Gambar: Siti Nurhaliza Tarudin/Instagram)

Diterbitkan : 05 Oct 2019 12:07PM Dikemas Kini : 05 Oct 2019 12:10PM

KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor Malaysia, Siti Nurhaliza, bakal merakamkan semula lagu dendangan penghibur terkenal, Allahyarham Sudirman Arshad, berjudul Teratai Menjelma.

Siti memberitahu BH Online, langkah beliau itu sebagai usaha memartabatkan irama tradisional selain memastikan ia kekal relevan sampai bila-bila masa.

“Bagi album baharu yang kini dalam pembikinan, Siti akan menyanyikan semula lagu Allahyarham Sudirman, Teratai Menjelma. Ia sebuah lagu yang sedap didengar.

“Siti akui, agak lama tidak merakamkan lagu berentak tradisional. Jadi, Siti ambil keputusan untuk memuatkan lagu berkenaan dalam album baharu nanti,” ujar penyanyi bersuaru lemak merdu itu ketika ditemui di majlis sidang media Karya Agung Pak Ngah (Suhaimi Mohd Zain) bersama Orkestra Tradisional Malaysia dan Siti Nurhaliza di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Selain lagu tersebut, album yang akan menemui peminat pada Januari 2020 itu juga memuatkan karya ciptaan Aubrey Suwito, Joe Flizzow dan penggubah dari Indonesia iaitu Melly Goeslaw.

“Album ini bakal memuatkan 10 lagu. Selain tiga single Siti yang pernah dikeluarkan sebelum ini, Siti turut merakamkan tujuh karya baharu. Siti juga sedang menunggu lagu daripada Hael Husaini,” ujarnya ketika ditemui BH Online.

Mengulas lanjut mengenai konsert itu, Siti berkata sebagai penyanyi yang pernah bergelar anak didik Pak Ngah, pelibatannya dalam persembahan tersebut antara cara beliau membalas jasa penggubah itu.

“Siti melihat Pak Ngah seperti keluarga sendiri. Kami sama-sama pernah melalui kesusahan dan untuk konsert pertama Siti dahulu, Pak Ngah yang jadi pengarah persembahannya.

“Kasih sayang yang diberikan Allahyarham dan keluarganya dapat Siti rasakan hingga ke hari ini,” kata beliau.

Penggubah yang dikenali dengan lagu-lagu irama Malaysia itu meninggal dunia di Batam, Indonesia, pada 25 September tahun lalu.

Konsert yang bakal berlangsung pada 14 dan 15 November depan itu turut menyaksikan penampilan Syamel, Ernie Zakri, Asmidar dan Roger. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan