Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Akar Subur kembali untuk tampilkan karya seni pereka tari muda, kali ini menerusi wadah online

Pementasan Akar Subur kembali tahun ini dengan mengetengahkan bakat enam kumpulan seni tari Melayu menerusi wadah digital.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pementasan Akar Subur kembali tahun ini dengan mengetengahkan bakat enam kumpulan seni tari Melayu menerusi wadah digital.

Orang ramai berpeluang menikmati sajian idea lebih segar daripada para pereka tari muda termasuk bentuk tarian "tari tunggal" yang diperkenalkan buat julung-julung kalinya.

Bakat-bakat baru daripada enam kumpulan tarian Melayu tempatan ini diberi tugas mencipta dua tarian baru - tradisional kreatif dan kontemporari solo atau tari tunggal bagi pementasan Akar Subur.

Kumpulan tarian Melayu tempatan itu termasuklah Era Dance Theatre, Artiste Seni Budaya, Kirana Seni, Sriwana, Azpirasi dan Perkumpulan Seni.

Dianjurkan untuk tahun keenam oleh Era Dance Theatre, Akar Subur bertujuan untuk memberi pendedahan buat mereka agar dapat menjadi pelapis dunia tarian Melayu Singapura.

Meskipun dicabar keadaan pandemik COVID-19 sekarang, dan bagi persembahan diadakan tanpa penonton secara fizikal, para pereka tari tidak kurang bersemangat untuk menampilkan idea-idea baru, dalam ciptaan gerak tarian tradisional mahupun kontemporari.

Salah seorang daripada mereka ialah Cik Huwaina Ibrahim, dari kumpulan Sriwana. Beliau merupakan satu-satunya pereka tari wanita bagi Akar Subur kali ini.

"Apabila saya mendapat tahu bahawa saya adalah satu-satunya pereka tari wanita untuk tahun ini, saya berasa agak teruja tetapi tentunya rasa tertekan. Ini kerana saya tahu bahawa pereka tari yang lain semuanya hebat-hebat belaka," ujar Cik Huwaina.

"Koreografi berkumpulan saya bertemakan wanita. Ini kerana saya mahu meraikan wanita yang lemah lembut tetapi kadangkala agak tegas juga dan bertekad dalam masa-masa yang tertentu," tambah beliau.

Untuk persembahan solo Cik Huwaina pula, ia menyepadukan gerakan tubuh dengan kehalusan ekspresi yang dekat di hatinya.

PENCIPTA TARI DIBERI KEBEBASAN PAPARKAN TARI TUNGGAL

Bagi segmen kontemporari pula, pereka tari diberi kebebasan untuk mempersembahkan tari tunggal, atau 'solo dance'.

"Setiap pencipta dapat menampilkan diri mereka sendiri dengan apa-apa sahaja yang mereka fikirkan atau rasakan. Mereka juga boleh meluahkan pengalaman peribadi mereka menerusi platform ini," kata Encik Encik Osman Abdul Hamid, Pengarah Artistik bagi Era Dance Theatre dan Akar Subur 2021.

"Ini agak menarik kerana kita dapat lihat cabaran yang dilalui mereka dan bagaimana mereka membongkar isu-isu yang sangat dekat pada diri mereka," tambah beliau.

Buat julung-julung kalinya juga, setiap karya yang dihasilkan oleh pereka tari ini akan dipantau dan dibimbing oleh para mentor daripada enam kumpulan seni yang berbeza itu.

"Program bimbingan mentor ini adalah kelainan yang kami usulkan tahun ini. Jadi bagi pencipta tari dari Perkumpulan Seni misalnya, mentornya akan datang dari Era Dance Theatre," kata Encik Osman.

Ia bertujuan melatih pelapis kepimpinan baru di mana mereka dapat memberi tunjuk ajar dan mempertingkatkan kemampuan para pereka tari muda untuk melestarikan seni tarian Melayu sambil memberikannya nafas yang baru.

(Gambar: Era Dance Theatre)

Pementasan selama sekitar satu jam setengah itu bakal menampilkan 19 penari yang akan mempersembahkan hasil karya enam pereka tari muda.

Akar Subur akan dipentaskan dari 16 hingga 25 Julai di wadah online. Orang ramai boleh mendapatkan tiket berharga $15 di laman ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan