Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Aizat gesa peminat muzik beri ruang bagi penyanyi baru berkembang

Penyanyi Aizat Amdan menggesa peminat muzik tanah air agar memberi ruang kepada penyanyi baru atau yang dilabel sebagai "budak baru sedang menaik” untuk menonjolkan bakat mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Aizat gesa peminat muzik beri ruang bagi penyanyi baru berkembang

(Gambar: aizatamdan/ Instagram)

Diterbitkan : 19 Feb 2018 05:08PM Dikemas Kini : 19 Feb 2018 05:11PM

KUALA LUMPUR: Penyanyi Aizat Amdan menggesa peminat muzik tanah air agar memberi ruang kepada penyanyi baru atau yang dilabel sebagai "budak baru sedang menaik” untuk menonjolkan bakat mereka.

Menurut Aizat, tidak adil kecaman serta kritikan negatif diberikan kepada mereka khususnya oleh para netizen.

"Bagi saya mereka ini mempunyai bakat yang 'fresh' serta keistimewaan tersendiri dan perlu diberi pertimbangan oleh semua pihak untuk menerima kehadiran mereka dalam industri muzik.

"Jangan letakkan harapan terlalu tinggi kerana golongan ini memerlukan masa dan ruang untuk belajar menjadi pelapis yang boleh dibanggakan kelak," katanya.

Antara barisan penyanyi baru yang dilabel 'Budak Baru Sedang Menaik' termasuk Haqiem Rusli, Khai Bahar, Wany Hasrita dan Aiman Tino memerlukan sokongan moral untuk mencipta nama dalam persada muzik tempatan dan bukannya memberi kecaman yang boleh menjejaskan reputasi mereka, katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu 'Hanya Kau Yang Mampu' itu berkata zaman dilalui muka-muka baru itu sangat mencabar lebih-lebih lagi dengan kewujudan media sosial yang menyaksikan para netizen bebas memberi sebarang kritikan dan pujian.

"Saya mendoakan supaya mereka ini kuat dan mampu mengharungi cabaran getir khususnya apabila berhadapan dengan pelbagai kerenah netizen di media sosial," kata pemenang Anugerah Juara Lagu ke-24 melalui lagu 'Pergi' itu.

Aizat yang juga komposer berkata penyanyi baru ini mempunyai keistimewaan tersendiri, dan kehadiran mereka memeriahkan lagi industri muzik tempatan.

Mengenai perkembangan terbaru dirinya, Aizat berkata beliau kini sedang sibuk mempromosi single terbaharunya berjudul 'Sampai Ke Hari Tua'.

Menurutnya lagi, single itu mengisahkan tentang hasrat semua orang yang mahu kekal bersama pasangannya sehingga ke hari tua.

"Peminat boleh mendengar lagu baru saya di laman Youtube dan platform lain seperti Spotify, Joox, dan Apple Music," katanya yang merancang untuk muncul dengan album baharu tahun ini. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan