Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Ahmad Idham bertegas FINAS tangguh FFM31 selagi M'sia belum bebas COVID-19

Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31, yang ditangguhkan akibat penularan COVID-19, tidak akan dianjurkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) selagi Malaysia belum disahkan bebas daripada wabak itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Ahmad Idham bertegas FINAS tangguh FFM31 selagi M'sia belum bebas COVID-19

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 21 Sep 2020 09:59PM Dikemas Kini : 21 Sep 2020 10:00PM

KUALA LUMPUR: Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31, yang ditangguhkan akibat penularan COVID-19, tidak akan dianjurkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) selagi Malaysia belum disahkan bebas daripada wabak itu.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, berkata pihaknya berpegang kepada keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilanjutkan sehingga 31 Disember ini dalam membuat keputusan untuk menangguhkan FFM31.

"Selepas membawa isu FFM31 ke dalam mesyuarat, kami memutuskan untuk membawa acara ini kepada tahun depan atas faktor keselamatan.

"Seperti yang kita tahu, FFM membabitkan banyak pihak dan pengamal media. Jadi, lebih baik kita elak aktiviti yang boleh menghimpunkan ramai orang buat masa ini.

"Lagipun, kita tidak mahu orang ramai menuduh FINAS tidak peka dengan situasi semasa berikutan negara masih berperang dengan penularan COVID-19.

"Sehubungan itu, FINAS sasar penganjuran FFM31 adalah pada suku pertama 2021. Namun, itu bergantung pada keadaan negara ketika itu," kata beliau kepada BH Online.

Pada Jun lalu, Ahmad Idham mengumumkan FFM31 bakal ditangguhkan tahun depan biarpun penularan COVID-19 semakin terkawal.

Ketika itu, beliau dilaporkan berkata bahawa biarpun keadaan semakin pulih, Malaysia masih belum bebas sepenuhnya daripada pandemik tersebut. Sehubungan itu, langkah terbaik adalah menangguhkan FFM31 meskipun proses penjurian sudah dilakukan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Acara tersebut sepatutnya diadakan pada 9 hingga 18 April lalu.

Pertanyaan mengenai penganjuran FFM31 bangkit semula berikutan perkembangan mengenai penularan COVID-19 di Malaysia apabila kerajan memperkenalkan PKPP - satu petanda bahawa pandemik itu kian terkawal.

Malah, sesetengah peminat filem juga memberikan saranan kepada FINAS agar boleh meneruskan FFM31 di tengah-tengah COVID-19. Antara lain termasuk mementaskan acara secara online dan mengemukakan kebenaran oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membenarkan penganjur meneruskan acara terbuka dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

TIDAK MAHU IKUT JEJAK KOREA SELATAN

Sebelum ini, lapor BH Online, Ahmad Idham pernah berkata FINAS tidak berhasrat mengikut jejak langkah Korea Selatan yang menganjurkan acara anugerah mengikut norma baru dengan melaksanakan jarak sosial.

"Saya sedar ada negara seperti Korea Selatan menganjurkan majlis anugerah cara normal baru dengan penjarakan sosial. Tetapi, kita tidak berhasrat mengikut jejak langkah mereka. Negara kita belum pulih sepenuhnya daripada wabak COVID-19.

"Matlamat saya adalah memacu ekonomi terlebih dahulu. Sebaik panggung wayang boleh mula beroperasi, penggambaran diteruskan seperti biasa dan stesen televisyen (TV) semakin stabil, barulah saya fikir mengenai FFM31," katanya.

Ahmad Idham berkata, FINAS merancang menganjurkan penghargaan buat penggiat seni pada November atau Disember depan.

"Majlis penghargaan ini adalah seiring usaha Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, menjayakan program 'Road to Oscar'.

"Bagaimanapun, acara ini masih dalam peringkat perancangan dan maklumat lanjut akan dikongsi dalam sidang media khas nanti.

"Kami fikir majlis begini perlu diadakan untuk memberitahu industri kita tetap rancak biarpun dalam situasi yang mencabar ini.

"Pada masa sama, kami juga mahu memberi semangat dan dorongan kepada penggiat seni agar terus berkarya," ujarnya lanjut.

Ahmad Idham menambah FINAS gembira melihat perkembangan industri seni apabila banyak penggambaran disambung semula atau bermula untuk penerbitan baru sejak September dan Oktober lalu.

"Kami dapat lihat banyak penggambaran baru bermula bulan ini dan bulan depan. Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita lihat ramai yang menyambung penggambaran bagi projek yang tergendala.

"Tetapi sekarang ramai yang menjalankan penggambaran baru terutama drama kerana naskhah ini akan terus disiarkan di TV berbanding filem yang memerlukan masa untuk ditayangkan di pawagam.

"Lagipun, kita ada lagi lambakan filem yang masih menunggu tarikh tayangan. Jadi, kita lebih mendorong produksi dan penerbit menghasilkan naskhah untuk TV," katanya.

FFM31 yang sepatutnya berlangsung di Encore Melaka, menyaksikan 67 filem bersaing merebut 32 kategori yang dipertandingkan. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan