Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

"Abang Zaibo dah tiada...doakan dia"; rakan artis ucap takziah

Setelah hampir lima bulan bertarung dengan penyakit barah esofagus Tahap 4, pelakon veteran yang terkenal dengan panggilan Zaibo, menghembuskan nafas terakhir hari ini (14 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
"Abang Zaibo dah tiada...doakan dia"; rakan artis ucap takziah

Zaibo bersama isterinya, Siti Hawa Sawal. (Gambar: Siti Hawa/Facebook)

BERITAmediacorp: Setelah hampir lima bulan bertarung dengan penyakit barah esofagus Tahap 4, pelakon veteran yang terkenal dengan panggilan Zaibo, menghembuskan nafas terakhir hari ini (14 Nov).

Khabar dukacita pemergiannya itu dimaklumkan oleh isteri tercinta Siti Hawa Sawal kepada rakan-rakan artis.

"Abang Zaibo dah tiada...minta doakan dia ya," kata isterinya seperti yang dipetik laman mStar.

Antara rakan artis yang melahirkan rasa amat sedih dan ucapan takziah di laman Facebook adalah pelakon veteran Norlia Ghani

Beliau memuat naik gambarnya bersama Allahyarham Zaibo dengan kapsyen yang berbunyi: "Ya Allah pergi juga adikku Zainal Zaibo. Inilah gambar terakhir saya dengannya ketika melawat arwah di HUKM. Al Fatihah. Semoga arwah bersama orang2-orang yang beriman. Aamin."

Pelakon Fauziah Nawi turut memuat naik catatan ke laman Facebook beliau mengucapkan "selamat berlayar ke negeri abadi" kepada sahabatnya Zaibo.

Di laman Instagram juga, rakan-rakan artis lain turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Rata-rata mereka menyatakan akan merindui lawak dan gelak tawa Allahyarham.

Pelakon Erra Fazira dalam catatannya menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang sangat baik dan seorang "abang dan ayah yang tak lokek ilmu".

Menerusi laporan-laporan media sebelum ini, Allahyarham Zaibo mendedahkan bahawa beliau tidak menyangka disahkan menghidap barah esofagus. Beliau didiagnosis sekitar dua minggu selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Meskipun sudah lebih dua tahun tidak terlibat dalam dunia lakonan, 'otai' dalam bidang lakonan dan lawak itu masih diingati ramai sebagai seorang yang sentiasa ceria. Maka tidak hairanlah jumlah rakan-rakan artis yang menziarahinya dalam tempoh beberapa bulan lalu bertali arus.

Malah, Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim, juga melawat Zaibo di kediamannya pada Isnin lalu (12 Nov) untuk memberikan sokongan dan kata-kata semangat dalam menentang penyakit barah.

Zaibo atau nama sebenarnya Zainal Ariffin Abd Hamid, mula dikenali menerusi lakonannya dalam siri televisyen Malaysia, Spanar Jaya dari tahun 1999 hingga 2005.

Sejak itu, beliau terlibat dalam beberapa filem termasuk Soal Hati (2000), Magika (2010), Awan Dania The Movie (2013) dan Manisnya Cinta di Cappadoccia (2014).

Beliau kemudian menceburi pula sitkom berbahasa Inggeris di Singapura. Wataknya sebagai Yusof, seorang penjual Mi Rebus dan jiran kepada keluarga Tan Ah Teck, dalam sitkom popular tempatan Under One Roof, berjaya mencuit hati penonton. 

Beliau juga pernah memainkan peranan kecil sebagai seorang pedagang Siam dalam filem Hollywood Anna And The King (1999). 

Sumber : BERITA Mediacorp/agensi berita/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan