Images
  • aaron aziz
    Gambar: Instagram/Aaron Aziz

Aaron Aziz jamin boleh berlakon dengan baik walau ada isu saraf

KUALA LUMPUR: Aaron Aziz memberi jaminan dia masih boleh bekerjasama dengan baik untuk sesebuah tawaran berlakon meskipun berdepan masalah saraf.

Kata pelakon kelahiran Singapura itu, dia tiada masalah termasuk untuk melakonkan babak lasak terutama untuk naskhah bergenre aksi.

“Pihak produksi usah risau untuk berikan tawaran. Setakat ni saya tiada masalah untuk bekerjasama menjayakan sesebuah naskhah dengan baik,” katanya.

Menurut Aaron, 45 tahun dia bagaimanapun perlu mengelak daripada melakonkan babak lasak yang keterlaluan bagi mengelak kecederaan yang tidak diingini atau memburukkan lagi keadaannya.

"Untuk babak yang memerlukan saya berlawan ia masih boleh dilakukan. Asalkan saya tak diminta produksi untuk buat aksi lagak ngeri jatuh dari tingkat 20 sudahlah.

“Setakat berlakon tendang, terajang tak ada masalah. Cuma saya perlu mengelak daripada berlakon jatuh ke depan atau belakang. Untuk stand up fighting, memang tak ada masalah setakat ni,” katanya kepada Malaysiakini.

Pemilik nama penuh Aaron Mustapha Aziz itu berkata demikian pada sidang media bagi mempromosikan drama terbaru lakonannya, Gerak Khas Undercover yang berlangsung secara maya baru-baru ini.

Drama terbitan Skop Production itu dijadual menemui penonton TV3 mulai Jumaat, jam 10.30 malam. Ia turut membariskan pelakon lain seperti Erra Fazira, Rosyam Nor, Salina Saibi, Elizabeth Tan dan Raja Afiq.

Aaron mengakui masalah saraf membabitkan urat di bahu kirinya itu bermula sejak dia mengacarakan program realiti Fear Factor Malaysia musim pertama pada 2013.

Pelakon Evolusi KL Drift itu mendedahkan sebelum ini masalah saraf tersepit pada bahagian lehernya itu memaksanya keluar masuk hospital.

JADUAL KERJA

Susuli itu katanya, dia masih perlu bergantung dengan ubat-ubatan bagi mengurangkan kesakitan yang dialami.

“Jika masuk set penggambaran, saya OK saja, tak rasa sakit pun. Namun, yang pelik, kesakitan akan mula dirasai ketika berada di rumah sewaktu tak bekerja.

“Sakit misalnya dirasai apabila melakukan senaman. Untuk tahan segala kesakitan tersebut, saya perlu bergantung dengan ubat-ubatan daripada doktor,” katanya kepada Malaysiakini.

Namun pelakon Suamiku Encik Perfect 10 itu berkata, dia kurang selesa untuk berbicara lebih terperinci mengenai masalah kesihatan dialami kerana bimbang ada pihak produksi enggan mengambilnya berlakon selepas ini.

Ditanya soal pembedahan, Aaron berkata, dia membuat keputusan tidak melakukan prosedur itu seperti disarankan doktor.

“Buat masa ni saya elakkan pembedahan dan makan ubat tahan sakit untuk hentikan saraf daripada membengkak. Kalau dah bengkak, memang memakan masa nak pulih.

“Sekiranya saya lakukan pembedahan, saya tak boleh berlakon dan ia akan menghalang atau melambatkan jadual kerjaya untuk dihabiskan,” katanya.

- Agensi berita/SM/sm

Top