Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

3,000 peminat S'pura sahut lambaian konsert "Ratu Muzik" Siti Nurhaliza

Penjualan tiket bagi konsert penyanyi jelita Siti Nurhaliza boleh dikatakan memuaskan.

Anggaran Waktu Membaca:
3,000 peminat S'pura sahut lambaian konsert "Ratu Muzik" Siti Nurhaliza

Dato' Sri Siti Nurhaliza Tarudin. (Gambar: Siti Nurhaliza/Instagram)

SINGAPURA: Penjualan tiket bagi konsert penyanyi jelita Siti Nurhaliza boleh dikatakan memuaskan. Kurang dua minggu lagi sebelum konsert gah "Ratu Muzik" oleh biduanita bersuara emas itu berlangsung di Singapura, sebanyak 3,000 atau 60 peratus tiketnya sudahpun terjual.

Konsert pada 2 Mac itu tentunya amat dinanti-nantikan oleh para peminat Siti memandangkan kali terakhir beliau mengadakan konsert di kota Singa ini adalah lima tahun lalu, iaitu pada 2014.

Sebelum ini, Siti pernah mengadakan lima konsert solo besar-besaran di Singapura. Konsert keenam ini bakal berlangsung di Singapore Expo.

Menurut pemerhatian BERITAmediacorp, ada segelintir peminat yang berasakan lokasi tersebut kurang sesuai bagi seorang penyanyi masyhur seperti Siti Nurhaliza.

Apabila ditanya, Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, menjelaskan bahawa terdapat hanya dua lokasi di Singapura yang boleh menampung keseluruhan produksi konsert tersebut, yang memerlukan ruang pentas yang besar.

Kami diberitahu, konsert yang gah itu memerlukan saiz pentas sebesar 11 kali 7 meter persegi.

"Oleh kerana ini Siti Nurhaliza. Jadi konsert ini pasti berlangsung gilang-gemilang walau di mana pun ia diadakan. Tambahan lagi kami membawa ahli muzik antarabangsa. Pemain bass dan dram dari Amerika dan pemain gitar dari Indonesia. Ia gabungan artis tempatan dan antarabangsa," Encik Shiraz memberitahu BERITAmediacorp.

Dewan di Singapore Expo itu juga boleh memuatkan 5,000 orang. Ini hampir dua kali ganda berbanding dewan konsert di Esplanade, misalnya.

Pada ketika ini, Siti dan seluruh produksi konsertnya sudahpun berada di Jakarta, Indonesia - lokasi pertama bagi konsert jelajah empat negara.

Dengan konsert pertama dijadual berlangsung esok (21 Feb), para peminat di Singapura juga mungkin mula merasakan debaran menantikan konsert Ratu Balada itu di sini.

Konsert seterusnya pula akan diadakan di Malaysia pada 16 March, sebelum Siti kembali 'menggegarkan' Royal Albert Hall, London pada 22 April.

Dalam konsert di Singapura nanti, Siti Nurhaliza bakal mendendangkan hampir 30 buah lagu termasuk 'medley'.

Bagi yang merindui lagu-lagu hits beliau sejak awal pelibatannya dalam dunia hiburan, anda dijangka tidak akan dikecewakan.

"Konsert saya kali ini, saya kembali selepas berehat dan tujuan utamanya pasti saya mahu mengubat rindu para peminat di Singapura. Saya akan menyampaikan lagu-lagu lama dan baru serta gabungan tenaga kreatif, teknikal dan produksi yang terbaik," Siti memberitahu BERITAmediacorp.

Mungkinkah lagu Percayalah, yang liriknya ditulis sendiri oleh beliau ini, antara yang bakal diperdengarkan?

Seperti lazimnya setiap kali beliau mengadakan konsert, Siti disokong oleh produksi yang besar bagi menjanjikan pengalaman tidak dapat dilupakan buat para peminatnya.

"Apabila berada di atas pentas, saya tidak hanya seorang memberikan yang terbaik tetapi susunan muzik, audio, penataan lampu, penari, grafik dan sebagainya akan sama mengiringi persembahan untuk mendapatkan hasil yang terbaik," tambah Siti.

Pihak penganjur konsert, Shiraz Projects, mendedahkan kepada BERITAmediacorp, seramai 150 kru produksi terlibat untuk menjayakan konsert tersebut.

Bagi memastikan setiap konsert berjalan lancar, mereka juga mengadakan latihan penuh atau raptai selama tiga hari, termasuk penjagaan diet dan latihan fizikal buat Siti. 

Malah, dengan statusnya sebagai penyanyi bersuara emas, Siti sanggup menjalani latihan vokal bagi memantapkan lagi nyanyiannya. Ini tentu sekali demi para peminat yang sudah begitu lama menantikan 'comeback' daripada beliau.

Yang pasti, harapan Siti Nurhaliza bagi konsertnya hanyalah satu.

"Saya mahu memberikan apa yang terbaik semampu saya dan mahu para penonton pulang dengan kepuasan," ujar beliau.

Bagi yang tidak mahu ketinggalan menghadiri konsert gilang gemilang ini, anda masih berkesempatan mendapatkan tiket-tiketnya di myticket.asia. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan