Images
  • nasyid lagu
    Mu’adz Dzulkefly dan Azwan Ibrahim menyanyi lagu Tamil untuk filem Rajinikanth. (Gambar: YouTube) 

2 penyanyi nasyid dendang lagu Tamil untuk filem Rajinikanth

KUALA LUMPUR: Dua penyanyi nasyid Malaysia diberi peluang menyanyikan lagu Tamil bertajuk ‘Ullala’ dari filem ‘Petta’, iaitu filem terbaru lakonan legenda filem Tamil, Rajinikanth, yang digunakan untuk video promosi filem tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation syarikat pemegang hak pengedaran filem itu untuk seluruh dunia kecuali India, Abdul Malik Dasthigeer, berkata lagu yang dinyanyikan Mu’adz Dzulkefly dan Azwan Ibrahim itu akan digunakan untuk klip video bagi mempromosikan filem itu di negara-negara Asean.​​​​​​​

“Filem yang akan ditayangkan 10 Januari ini sempena perayaan ‘Ponggal’ adalah kerjasama pertama Rajinikanth dengan pengarah muda, Karthik Subbaraj, dengan barisan pelakon termasuk pelakon Bollywood Nawazuddin Siddiqui, Vijay Sethupathi, Simran, Trisha dan Bobby Simha”, katanya pada pelancaran album nyanyian Mu’adz dan Azwan.

Sementara itu, Mu’adz memberitahu agensi berita Bernama walaupun beliau pernah menyanyikan lagu Tamil sebelum ini, peluang menyanyikan lagu ‘Ullala’ disifatkan sebagai pengiktirafan buat dirinya.

“Kami mengambil masa lima hari untuk merakamkan lagu ini. Cabaran utama adalah sebutan dan ekspresi yang perlu diluahkan mengikut maksud perkataan selain mengejar masa untuk berlatih,” katanya.


Mereka dilatih penggubah dan penulis lirik serta skrip popular Malaysia, Kavilnayagan Yuwaji, sementara Saran Z bertindak selaku pengarah bagi projek lagu itu.

Mu’adz dan Azwan pernah berganding bahu menyanyikan lagu Tamil tempatan bertajuk ‘Azhagu’ pada 2014 menerusi kumpulan SALAAM.​​​​​​​

​​​​​​​Azwan berkata beliau adalah peminat Rajinikanth dan ia menjadi antara motivasi untuknya bersetuju menyanyikan lagu yang digubah komposer muzik terkenal India, Anirudh Ravichander itu.

Mu’adz adalah penyanyi solo nasyid yang pernah menerbitkan album ‘Rindukan Cahaya’ pada 2013, manakala Azwan pula adalah ahli kumpulan nasyid ‘Fareast’ dan sudah menghasilkan lapan album setakat ini. 

- BERNAMA/AI/ai

Top