Images
  • artists wedding
    Norshafiq & Farhana, serta Imam Shah & Hannah masing-masing bernikah pada awal Feb 2021 (Gambar-gambar: Facebook/SURIA)

2 pasangan artis S'pura diijabkabulkan dalam seminggu

SINGAPURA: Kalau anda rasa seperti kerap terhidu bau nasi minyak baru-baru ini, ternyata hidung anda tidak tersilap.

Ini kerana bukan satu atau dua, tetapi empat selebriti tempatan naik ke jinjang pelamin dalam seminggu yang lalu!

Hari ini (18 Feb), para peminat dikejutkan dengan khabar bahawa artis asal Singapura yang juga giat berkarya di seberang tambak, Hannah Delisha, sudah selamat bernikah.

Pemenang Personaliti Wanita Paling Popular dua kali berturut-turut di Pesta Perdana ke-14 dan ke-15 itu mendedahkan berita gembira itu menerusi akaun media sosialnya hari ini (18 Feb).

"Akhirnya, setelah 5 tahun. Alhamdulillah. I love you @imamemy" tulis beliau ringkas di Instagram dengan tanda pagar #imampadahannah

Suaminya merupakan pelakon Singapura, Imam Shah, yang pernah memegang watak utama dalam siri drama Saga musim kedua, dan pernah berlakon drama TV3 Malaysia Kau Yang Pertama.

"Memang hanya awak selama ini. Dengan nama Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. I love you @hannahdelisha," tulis Imam ringkas memuat naik dua gambar mereka di Instagram.

Khabar perkahwinan mereka boleh dianggap mengejutkan, lebih-lebih lagi tinjauan pada akaun media sosial pasangan mempelai ini mendapati tiada apa-apa catatan yang menunjukkan mereka berdua sedang berpacaran.

FARHANA, SHAFIQ TURUT KE JINJANG PELAMIN

Sabtu lalu pula (13 Feb), sepasang lagi selebriti Singapura juga bergelar raja dan permaisuri sehari.

Penyanyi tempatan yang menempa nama sebagai finalis pertandingan Anugerah 2017, Norshafiq Ridzwan bernikah dengan pelakon dan pengacara Mediacorp Suria, Farhana M Noor.

Dikhabarkan bahawa pasangan tersebut pada awalnya merancang bernikah pada November tahun lalu, namun rancangan mereka tertunda dek pandemik COVID-19.

Majlis mereka pada Sabtu diadakan di Hotel InterContinental dengan langkah-langkah selamat COVID-19, dan bilangan jemputan yang terhad.

Pasangan tersebut sempat memuat naik video ringkas di akaun Instagram Farhana beberapa jam sebelum bernikah untuk memohon maaf kerana tidak dapat menjemput lebih ramai orang, dan untuk memberitahu para peminat bahawa pernikahan mereka akan distrim secara langsung di media sosial.

Video akad nikah mereka yang dimuat naik di Instagram menarik lebih 15,000 tontonan dengan lebih 2,000 tanda 'like'.

Tahun 2021 baru masuk dua bulan pertama. Dalam tempoh 10 bulan akan datang, agaknya pasangan selebriti mana lagi ya yang akan membina mahligai?

- BERITAmediacorp/tq

Top