Images
  • jackie chan
    (Gambar: AFP)

2 apartmen mewah Jackie Chan akan dilelong

HONG KONG: Dua apartment mewah milik pelakon aksi terkemuka Hong Kong, Jackie Chan, dilaporkan bakal dilelong berikutan isu perselisihan hak milik.

Menurut agensi berita tempatan Qingliu Studio pada Jumaat lalu (28 Ogos), hartanah tersebut kini diletakkan dalam laman web lelongan di bandar itu.

Kedua-dua rumah yang terletak di pusat bandar Dongcheng itu dikhabarkan akan dibuka untuk bidaan dengan nilai permulaan 71.9 juta yuan (S$14.3 juta).

Hartanah tersebut dikatakan pernah menjadi kediaman buat keluarga pelakon aksi itu sejak 2007.

Ia merupakan unit gabungan dengan keluasan 1,217 meter persegi yang mempunyai enam bilik tidur serta tiga ruang tamu - dianggarkan bernilai 100 juta yuan (S$19.9 juta).

Berdasarkan laman web tersebut, sesi lelongan itu akan bermula pada 28 September ini dengan lebih 600 pengguna berdaftar sudahpun menyatakan minat ke atas unit tersebut sejak petang Ahad.

Hartanah itu dijual kepada Chan pada hujung tahun 2007 oleh syarikat pemaju Beijing, Yujia Real Estate, dengan harga sekitar 33.6 juta yuan (S$6.6 juta) atas kerja-kerja promosi yang dijalankan Chan bersama syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, setelah Chan dan keluarganya tinggal di sana selama lebih 10 tahun, syarikat berkenaan tidak memberikan sebarang kertas hitam putih untuk memindahkan hak milik rumah berkenaan kepada Chan.

Malah, jelas laporan itu, sebuah lagi syarikat pemaju hartanah Beijing, Tenhong Real Estate Group, juga mengemukakan tuntutan timbang tara terhadap Yujia Real Estate berhubung pertikaian hutang dan mahkamah memerintahkan kesemua aset syarikat itu disita termasuk dua rumah yang dibeli oleh Chan.

Chan adalah seorang pelakon aksi dan penyanyi yang tidak asing lagi di mata dunia namun baru-baru ini, beliau menerima kritikan serta kecaman di Hong Kong berikutan pandangan politiknya.

Menurut laporan itu lagi, pihak berkuasa China dan syarikat pemaju bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu lelongan tersebut.

Dalam pada itu, lapor beberapa agensi berita tempatan China juga, rumah berkenaan merupakan rumah sama yang dikaitkan dengan kes jenayah melibatkan anak lelaki pelakon itu, Jaycee Chan, berkaitan kes penyalahgunaan dadah jenis ganja.

Pada Ogos 2014, Jaycee Chan atau lebih dikenali sebagai Jaycee Fong Cho-ming ditangkap bersama pelakon Taiwan, Ko Chen-tung, atas kesalahan menyalahgunakan dadah. Ia merupakan kes profil tinggi kerana melibatkan jenayah dadah terbesar di negara itu. 

- Agensi berita/FZ/fz

Top