Images
  • Entertainment

12 kumpulan lelong Melayu/Islam padu tenaga kumpul dana untuk anak istimewa Laiqa Neelofa

SINGAPURA: Dua belas kumpulan lelong Facebook Melayu/Islam bergabung tenaga mengumpul dana bagi seorang kanak-kanak yang mengalami palsi serebrum.

Adik Laiqa Neelofa yang berusia 7 tahun mengalami palsi serebrum sejak lahir dan dinasihati pakar terapinya supaya menggunakan kerusi roda bermotor untuk membantunya menjalani kehidupan seharian.

Tersentuh dengan nasib Laiqa, bekas pelakon Nick Mikhail tampil membantu dengan menghubungi rakan-rakan beliau untuk menghulurkan bantuan bagi meringkan beban keluarga Laiqa.

Nick yang kini mengusahakan sebuah kumpulan lelong online, 21 Bidders, memberitahu BERITAmediacorp bahawa usaha itu sudah berjalan sejak Isnin lalu hingga ke Sabtu (1 Ogos).

"Dari Isnin hingga Jumaat, semua hasil pendapatan kami daripada sesi lelong, bidaan ataupun cabutan bertuah, sebahagiannya akan kami ramai-ramai kumpulkan. Kemudian pada hari ini, kami akan mengadakan cabutan bertuah besar-besaran. Jadi kesemuanya akan nanti dicampurkan dan diberikan kepada keluarga adik Laiqa," kata beliau.

Beliau menambah bahawa keinginan untuk membantu keluarga adik Laiqa semakin bersemangat selepas mendapat tahu bahawa bantuan untuk keluarga Laiqa agak lewat dihulurkan oleh pihak-pihak tertentu.

Lantaran itu, mereka beramai-ramai bersepakat untuk mempercepatkan bantuan yang diperlukan oleh Laiqa dengan mengusahakan cara mereka tersendiri.

"Memang boleh sebenarnya untuk kami saja yang memberikan sumbangan tetapi saya rasa kami semua juga ingin melibatkan para peminat dan pengikut kami supaya perkara bantu-membantu ini dapat dinikmati bersama," tambah Nick.

Nick turut mendedahkan bahawa di penghujung semua usaha ini, beliau dan rakan-rakannya akan "menghadiahkan" adik Laiqa dengan sebuah kerusi roda bermotor bernilai S$6,000.

INGIN JADIKAN SATU GERAKAN

Berdasarkan pemerhatian BERITAmediacorp, trend sesi lelong secara langung online semakin mendapat perhatian ramai sejak kebelakangan ini.

Ini diakui sendiri oleh Nick yang mendedahkan bahawa sokongan masyarakat terhadap semangat keusahawanan mereka itulah yang membuat mereka berjaya.

"Selama ini nasib dan rezeki bagi para pelelong seperti kami ini agak baik. Jadi kami rasa sudah tiba masanya untuk kami bersama-sama memberikan dan mengongsikan rezeki diterima kami kepada masyarakat semula," ujar beliau.

Memandang ke hadapan, Nick berharap ciri-ciri lelong amal ini dapat dijadikan sebagai satu usaha lebih besar agar mereka dapat membantu lebih ramai anggota masyarakat.

"Mana tahu nanti ada lagi dalam puluhan pula kumpulan lelong milik anak Melayu/Islam di sini. Jadi kami boleh bergabung tenaga seperti ini dan membantu lebih ramai anggota masyarakat. Saya berharap usaha ini tidak terhenti di sini dan dijadikan sebagai satu gerakan membantu lebih ramai orang," katanya.

- BERITAmediacorp/ru

Top