Images
  • Lela Manja
    Babak dalam filem Lela Manja, menampilkan Habibah Haron. (Gambar-gambar: Shaw Organisation)

10 filem klasik Melayu bakal ditayang di pawagam PLQ Mall mulai 30 Okt

SINGAPURA: Selain filem-filem lakonan dan arahan legenda P. Ramlee, terdapat juga filem klasik Melayu lain yang tidak kurang hebatnya.

Jika anda penggemar filem-filem era 50-an dan 60-an, anda pasti tahu tentang cerita Si Tanggang dan Batu Belah Batu Bertangkup.

Mulai 30 Oktober ini, anda boleh menonton kedua-dua filem tersebut dan lagi lapan filem klasik Melayu di pawagam.

Filem-filem yang akan ditayangkan adalah Lela Manja, Anak Pontianak, Isi Neraka, A Go-Go 67, Raja Bersiong, Singapura Dilanggar Todak, Sayang Si Buta, Batu Belah Batu Bertangkup, Pusaka Pontianak dan Si Tanggang.


Babak dalam filem Si Tanggang. (Gambar-gambar: Shaw Organisation)

Tayangannya akan dibuat pada Sabtu terakhir setiap bulan di pawagam Shaw Theatres PLQ Mall, dengan filem Lela Manja menjadi yang pertama.


Poster filem Raja Bersiong. (Gambar-gambar: Shaw Organisation)

Kesemua 10 tajuk filem tersebut dipilih berdasarkan jalan ceritanya, dengan keupayaan membuatkan penonton sebak sehingga menitiskan air mata, ciri-ciri muzikal, seram, kelakar seram dan menyentuh perasaan, menurut Shaw Organisation.

"Kami ingin menunjukkan filem-filem klasik Melayu lain yang ada dalam arkib kami. Filem-filem ini tidak kurang hebatnya, tidak kurang lucu dan tidak kurang dramatik dengan filem-filem P. Ramlee.

"Ia menonjolkan bintang-bintang filem seperti Habibah Haron, Bat Latiff, Ahmad Mahmud, Normadiah, Hashimah Yon, Salleh Kamil, Zaiton, Aziz Jaafar, Jins Shamsudin, Dayang Sofea, antara lain," menurut Shaw Organisation.


Seniwati Hashimah Yon. (Gambar-gambar: Shaw Organisation)

Menurut Shaw Organisation, hanya satu tayangan dibuat sehari, di dewan pawagam khas bagi penonton yang sudah lengkap divaksinasi dan boleh memuatkan sekitar 65 orang.

Selain itu, tayangan setiap Sabtu terakhir tersebut akan berlangsung selama 10 bulan, sekiranya tidak ada sekatan-sekatan baru COVID-19 dilaksanakan.


Seniman Ahmad Mahmud. (Gambar-gambar: Shaw Organisation)

Tiket-tiket boleh dibeli mulai 20 Oktober 2021 pada harga S$15 seorang. Setiap pembelian tiket akan diberikan 'popcorn' bersaiz biasa dan sebotol air.

Maklumat lanjut tentang langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19, boleh diperolehi di shaw.sg.

Pada 2019, Shaw Organisation pernah menghidupkan semula 10 karya agung Allahyarham P. Ramlee di layar perak, di pawagam yang sama.

Antaranya Anakku Sazali, Madu Tiga dan Nujum Pak Belalang. 

LAPORAN BERKAITAN:

- BERITAmediacorp/nk

Top