Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

10 filem hitam putih lakonan P. Ramlee ditayang semula di pawagam mulai Okt ini

Masih ingat kepada dialog berikut? "Kassim Selamat? Siapa dia Kassim Selamat? Lawyer? Magistrate?" atau dialog yang ini "Butang baju aku mana Pah?"

Anggaran Waktu Membaca:
10 filem hitam putih lakonan P. Ramlee ditayang semula di pawagam mulai Okt ini

Para pelakon filem Ibu Mertuaku (Dari kiri) K Fatimah, P. Ramlee dan Zaiton. (Gambar-gambar: Shaw)

SINGAPURA: Masih ingat kepada dialog berikut? "Kassim Selamat? Siapa dia Kassim Selamat? Lawyer? Magistrate?" atau dialog yang ini "Butang baju aku mana Pah?"

Dialog-dialog ini sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan para penggemar filem-filem klasik lakonan Allahyarham P. Ramlee.

Lazimnya, kita di zaman ini hanya dapat menonton filem-filem P. Ramlee apabila ia ditayangkan di kaca televisyen ataupun menerusi DVD. Itu pun sekali-sekala. Mungkin juga ditonton di laman YouTube.

Namun mulai 26 Oktober nanti, anda boleh menikmati karya-karya agung Allahyarham P. Ramlee menerusi skrin gergasi layar perak. Ini melalui program Kenangan Bersama Filem-Filem Klasik P. Ramlee anjuran Shaw Organisation, yang memiliki pawagam Shaw dan filem-filem hitam putih zaman Jalan Ampas.

Shaw bakal menayangkan secara komersil bukan satu, bukan dua tetapi 10 filem popular P. Ramlee. Ini juga sebagai sebahagian langkahnya meraikan pembukaan pawagam terbarunya iaitu di PLQ Mall, di Paya Lebar - yang terletak berdekatan Geylang Serai.

Shaw Theatres PLQ merupakan kompleks pawagam yang mempunyai 12 panggung - pawagam terbesar di bahagian timur Singapura.

Allahyarham P. Ramlee. (Gambar: Shaw)

Pelakon filem Ibu Mertuaku, Allahyarham P. Ramlee. (Gambar: Shaw)

BILA DAN APA FILEM-FILEM LAMA YANG AKAN DITAYANGKAN?

Antara filem-filem lain yang akan ditayangkan itu termasuklah Anakku Sazali, Madu Tiga, Penarek Beca, Masam-Masam Manis dan Ibu Mertuaku, Labu Labi, Anak Bapak, Nujum Pak Belalang, Rachun Dunia dan Antara Dua Darjat. Tiket-tiketnya nanti akan dijual pada harga S$10 setiap satu.

Filem-filem itu akan ditayangkan pada setiap Sabtu terakhir setiap bulan. Program ini akan berlangsung selama 10 bulan, mulai bulan ini.

Pelakon veteran, K Fatimah. (Gambar: Shaw)

Pelakon filem Ibu Mertuaku, K Fatimah. (Gambar:Shaw)

Eksekutif Jabatan Filem-Filem Melayu di Shaw Organisation, Rosie Othman, memberitahu BERITAmediacorp tayang filem-filem klasik itu di pawagam adalah peluang yang baik untuk memperkenalkan semula karya-karya Allahyarham P. Ramlee kepada generasi muda.

"Kami mahu program ini menjadi peluang untuk anggota keluarga datang menonton bersama. Anak-anak datang bersama ibu bapa. Mungkin pasangan suami isteri yang daripada generasi filem P. Ramlee juga boleh datang bersama. Kami harap ini dapat menjentik semacam perasaan nostalgia," kata Cik Rosie.

Zaiton. (Gambar: Shaw)

Pelakon filem Ibu Mertuaku, Zaiton. (Gambar: Shaw)

FILEM-FILEM IKONIK INI MASIH MAMPU TARIK MINAT RAMAI

Filem-filem hitam putih itu sudahpun melalui proses pemuliharaan secara digital (digitised) dan diletakkan sari kata dalam bahasa Inggeris agar ia juga boleh ditonton oleh masyarakat bukan Melayu.

Meskipun ia sudah melalui proses pemuliharaan, anda masih boleh menikmati keasliannya, seolah-olah dibuai kembali ke zaman itu.

Filem pertama yang akan ditayangkan pada 26 Oktober nanti, iaitu Ibu Mertuaku, diterbitkan pada tahun 1962.

Ini bermakna filem yang juga dijayakan pelakon Zaiton, Sarimah, K. Fatimah dan Ahmad Nisfu ini sudah berusia 57 tahun.

Poster filem Ibu Mertuaku. (Gambar: Shaw)

Namun, aksi P. Ramlee mencucuk kedua biji matanya dengan garfu dan jeritan "alaahhhh Kasiimmmm Kassimm... ampunkan makk Kassimmmm...." oleh Nyonya Mansoor masih kekal dalam ingatan ramai.

"Filem-filem P. Ramlee ini ikonik. Ia masih mampu menarik minat orang ramai untuk menontonnya berulang-ulang kali selama berdekad-dekad. Berapa banyak filem lain yang boleh kita tengok berulang-ulang selama berdekad-dekad?," kata Cik Rosie kepada BERITAmediacorp.

Yang pasti, aksi-aksi dan dialog-dialog kegemaran ramai dari filem-filem Allahyarham P. Ramlee ini akan dapat dinikmati seisi keluarga melalui pengalaman 'upsize', dengan skrin lebih besar dan audio yang lebih hebat.

Tiket-tiket bagi tayangan umum filem klasik Ibu Mertuaku - di mana P. Ramlee merangkul anugerah Pelakon Serba Boleh dalam Pesta Filem Asia Pasifik 1963 di Tokyo - akan dijual mulai Khamis depan (17 Okt). Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman Shaw.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan