HBL lancar meski ada kegenjotan sementara sistem pembelajaran
Bagaimana seorang ibu mengimbangi kursus diploma sepenuh masa sambil mengawasi anaknya yang jalani HBL? Cik Nurul Huda Zulkifli berkongsi kisahnya...
SINGAPURA: Pengalaman Pembelajaran Di Rumah (HBL) kali ini lebih lancar berbanding tahun lalu, meskipun terdapat masalah mengakses portal sistem pembelajaran itu awal hari ini (19 Mei).
Demikian menurut seorang ibu yang ditemui BERITA Mediacorp pada hari pertama HBL dijalankan sepenuhnya di kesemua sekolah rendah, menengah dan maktab rendah serta Institut Milennia, sedang Singapura melaksanakan Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) COVID-19.
Meskipun demikian, ibu bapa masih perlu membuat penyesuaian bagi mengimbangi tanggungjawab mengawasi HBL anak-anak mereka dengan tuntutan lain.
KEGENJOTAN DITANGANI LEBIH BAIK
Bagi Nurul Huda Zulkifli, 33 tahun, HBL kali ini adalah kali kedua beliau perlu mengawasi pembelajaran anak sulungnya, Muhammad Daniyal Aneeq Muhammad Sadik, seorang murid Darjah 2.
"Tahun lepas kerana ia (HBL) mendadak, jadi semua kelam kabut. Jadi semua kerja ada masalah dari segi sistem. Dan semua pelajar ada masalah komunikasi dengan guru-guru. Tapi tahun ini Alhamdulillah, segala sistem HBL semua lancar," kongsi Cik Nurul, ibu kepada tiga orang anak, kepada BERITA Mediacorp.
"Kalau ada masalah sistem dan sebagainya, cikgu akan mesej kita menerusi (wadah perhubungan) Class DoJo jadi kami boleh jangkakan langkah seterusnya. Sama ada cikgu akan suruh kami tunggu, atau tangguhkan pelajaran HBL untuk hari itu," jelas beliau lagi.
Sedang kebanyakan sekolah lain menjalankan HBL sepenuhnya hari ini, anak Cik Nurul pula sudah menjalani pembelajaran dari rumah buat hari ketiga minggu ini.
(Petikan skrin video ihsan: Nurul Huda Zulkifli)
Ini kerana sekolahnya, Sekolah Rendah Palmview adalah antara sekolah-sekolah yang sudah beralih ke HBL lebih awal ekoran kes COVID-19 dilaporkan dalam kalangan pelajar.
Lantaran itu, apabila sekolah-sekolah merata Singapura awal pagi tadi melaporkan kegenjotan dalam sistem online, kakitangan di Sekolah Rendah Palmview tampak lebih bersedia menanganinya.
"Tapi gurunya cakap tak perlu khuatir, hanya tunggu sebentar. Tunggu dalam setengah jam, satu jam begitu, mereka selesaikan," kata Cik Nurul.
CABARAN TETAP ADA
Meskipun lebih bersedia menghadapi HBL, terdapat beberapa cabaran yang masih perlu dihadapi ibu bapa seperti Cik Nurul apabila anak mereka berada di rumah.
Khusus buat Cik Nurul, yang merupakan seorang jururawat, beliau kini sedang menjalani kursus diploma sepenuh masa.
Lantas, beliau perlu mengimbangi jadual pembelajaran Muhammad Daniyal Aneeq dan jadual kursusnya sendiri.
"Saya sekali sekala perlu keluar rumah untuk hadiri kelas amali. Jadi bila dia (anaknya) ada HBL, saya kelam kabut pergi kuliah, balik kemudian hadiri sesi Zoom. Jadi selalu bertembung dengan waktu Zoomnya," kongsi Cik Nurul.
Cik Nurul secara jujur berkongsi bahawa seperti kanak-kanak lain, anaknya yang baru berusia lapan tahun lebih cenderung untuk bermain, maka itu dia perlukan lebih banyak pengawasan semasa menjalani HBL.
Ini lebih-lebih lagi jika ada isu teknikal yang memerlukan bantuannya.
"Dia tidak berdikari, dia perlukan saya duduk di sebelah dia, atau sentiasa dipantau," kata beliau.
"Kadang-kadang ada masalah teknikal, guru dia akan hubungi saya supaya tolong dia."
BAWA PULANG ANAK KECIL DARI PRASEKOLAH?
Bagi Cik Nurul, beliau juga bergantung pada bantuan ibunya untuk membantu menjaga dua lagi anaknya berusia tiga dan lima tahun, supaya mereka dapat menumpukan lebih perhatian pada anak sulung mereka yang menjalani HBL.
Pada Ahad semasa mengumumkan pelaksanaan HBL, Menteri Pendidikan Chan Chun Sing menggesa ibu bapa supaya membenarkan anak mereka di prasekolah duduk di rumah seberapa mungkin.
Ini meskipun pusat-pusat prasekolah dan tadika tetap dibuka buat masa ini.
Apabila ditanya BERITA sama ada beliau juga akan melakukan sedemikian, Cik Nurul menjawab beliau tidak bercadang untuk melakukan demikian buat masa ini.
Jelas beliau, ini supaya beliau dapat mengimbangi antara HBL anaknya, kursus diploma beliau serta tugas-tugas lain di rumah tanpa perlu mengendalikan pembelajaran anak-anaknya yang kecil pula.
Namun jika pusat-pusat prasekolah ditutup, beliau akan memilih untuk mengajak ibunya tinggal bersama ataupun akan lebih kerap berulang-alik ke rumah ibunya jika perlu menghadiri kuliah.
HBL di sekolah akan dijalankan hingga akhir penggal persekolahan pada 28 Mei sedang Singapura melaksanakan Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.