Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harga sewa 58% gerai penjaja yang tamat tempoh antara April hingga Jun dikurangkan

Daripada 341 penjual di pusat penjaja dengan tempoh sewa perlu dibaharui antara April dengan Jun tahun ini, kos sewa 58 peratus daripada mereka disemak semula dan dikurangkan kepada harga lebih rendah mengikut kadar pasaran.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Jul 2021 04:24PM Dikemas Kini : 06 Jul 2021 09:16PM

SINGAPURA: Daripada 341 penjual di pusat penjaja dengan tempoh sewa perlu dibaharui antara April dengan Jun tahun ini, kos sewa 58 peratus daripada mereka disemak semula dan dikurangkan kepada harga lebih rendah mengikut kadar pasaran, kata Menteri Negara Kanan bagi Kementerian Kemampanan dan Sekitaran Amy Khor pada Selasa (6 Jul).

Kos yang dikurangkan itu berjumlah antara S$30 hingga lebih S$2,500 sebulan, dedah beliau. Disebabkan oleh pandemik COVID-19, nilai gerai "sebahagian besar" penjual jatuh pada tahun kewangan 2021.

Sehubungan itu, kenaikan harga sewa dibekukan sementara antara April 2020 dengan Mac 2021, tambah beliau.

Dalam kalangan penjaja dengan sewa yang perlu dibaharui, 37 peratus terus membayar kos sewa yang sama dan baki 5 peratus pula, atau 17 daripada 341 penjaja menyaksikan kos sewa naik S$10 hingga S$300, ujar Dr Khor.

Bagi 17 penjaja itu, kos sewa median adalah S$850. "Bahkan mereka yang kos sewanya naik S$300 masih tetap membayar pada kos atau di bawah nilai pasaran," tambah beliau.

Dr Khor menjawab pertanyaan Parlimen daripada Encik Melvin Yong (PAP-Radin Mas) tentang bantuan kewangan bagi para penjaja yang terjejas oleh kelompok COVID-19 dan bagaimana MSE merancang untuk membantu menarik semula para pelanggan ke pasar-pasar dan pusat penjaja terjejas selepas kelompok itu ditutup.

Persoalan itu timbul seleps penulis blog KF Seetoh menulis dalam satu catatan Facebook bahawa sesetengah kos sewa penjaja dinaikkan "hampir 40 peratus.

Dalam catatan itu, beliau memuat naik gambar satu notis yang dihantar oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) kepada seorang penjaja yang memberi perincian kenaikan harga sewa dan perjanjian sewa yang perlu dibaharui.

"Kami di sini sedang melakukan yang terbaik untuk #supportourhawkers (sokong penjaja kita) tetapi pada masa yang sama mereka menambah kos sewa penjaja sebanyak hampir 40 peratus," tulis beliau.

Sehari selepas catatan Facebook Encik Seetoh itu, NEA mengeluarkan satu catatan di Facebool untuk "menjelaskan" duduk perkara.

"Pada tahun-tahun kebelakangan ini, semakan semula yang menyebabkan kenaikan kos sewa di pusat-pusat penjaja kami tidak meleblihi S$300. Sebaliknya, ada juga semakan semula yang mengurangkan kos sewa menjangkaui S$300 selepas perjanjian sewa dibaharui. Ia adalah tidak tepat untuk melihat kepada peratusan kenaikan sahaja kerana kenaikan S$300 daripada kos sewa rendah akan kelihatan seperti satu kenaikan peratusan yang besar," terang agensi itu.

"TIADA HARGA SEWA MINIMUM"

Harga sewa median bagi gerai-gerai makanan dimasak yang tidak menerima subsidi di seluruh pusat penjaja adalah $1,250 iaitu "jauh lebih rendah" berbanding gerai-gerai di kedai kopi dan pusat makanan yang diuruskan secara komersil, kata Dr Khor pada Selasa.

"Apabila penjaja baru memperolehi gerai kosong di pusat penjaja yang diuruskan oleh NEA menerusi tender gerai bulanan, sewa yang dibayar adalah jumlah yang ditender. Tiada kos sewa minimum," ujar Dr Khor sambil menambah sesetengah pembida membuat tender tinggi untuk mendapatkan gerai yang diinginkan di lokasi yang disukai.

"Sistem tender terbuka ini memastikan ketelusan dan harga saksama khususnya bagi gerai-gerai dengan permintaan tinggi seperti lokasi dengan ramai pelanggan."

Harga sewa kekal tidak berubah sepanjang tempoh sewa tiga tahun itu, tembah beliau.

"Apabila tempoh sewa sudah tamat, kami tidak menyenaraikan gerai-gerai itu untuk tender kerana ia akan menganggu operasi penjual yang sudah membina perniagaan dan rangkaian pelanggan mereka," kata Dr Khor.

"Sebaliknya, harga sewa diubah suai berdasarkan penilaian profesional bebas yang mengambil kira faktor-faktor seperti bilangan pelanggan di pusat itu, saiz gerai dan keadaan pasaran sedia ada untuk menilai harga sewa pasaran.

"MASA MENCABAR"

"Kami maklum bahawa seberapa kecil pun bilangan mereka, sebarang kenaikan harga sewa, meskipun disemak semula, sentiasa sensitif lagi-lagi sekarang juga masa yang mencabar," kata beliau.

Oleh itu, para penjaja yang masih menghadapi masalah kewangan disebabkan kenaikan selepas pelepasan sewa dua bulan baru-baru ini dari pertengahan Mei hingga pertengahan Julai boleh menghubungi NEA untuk mendapatkan bantuan. NEA akan "melakukan semakan teliti mengikut kes," jamin Dr Khor.

Dalam pada itu, pemerintah juga sedang membuat pertimbangan untuk memberi pelepasan sewa kepada para penjaja yang terjejas oleh penutupan disebabkan kelompok COVID-19, dedah beliau.

"Bagi kes di Pasar dan Pusat Makanan Bukit Merah View, para penjaja yang beroperasi di sana sudahpun diberi pelepasan sewa sehingga pertengahan Julai," kata Dr Khor.

Para penjaja yang dikenakan perintah kuarantin boleh mendapatkan bantuan daripada pelbagai skim kewangan seperti Skim Elaun Perintah Kuarantin atau Geran Pemulihan COVID-19, tambah beliau.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan