Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gerobok Yishun inisiatif 7 sekawan bantu sesama jiran tetangga

Menerima hadiah pada hari ulang tahun merupakan kelaziman bagi kebanyakan orang. Namun bagi Encik Hazwan Tahir, Encik Azfar Ali dan Encik Faiz Zainal, ulang tahun mereka yang ke-31 pada September tahun lalu disambut dengan mengagih-agihkan air batu ikat kepada jemaah solat Jumaat di Masjid Alkaff. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Menerima hadiah pada hari ulang tahun merupakan kelaziman bagi kebanyakan orang. Namun bagi Encik Hazwan Tahir, Encik Azfar Ali dan Encik Faiz Zainal, ulang tahun mereka yang ke-31 pada September tahun lalu disambut dengan mengagih-agihkan air batu ikat kepada jemaah solat Jumaat di Masjid Alkaff Upper Serangoon.

Dari situlah ‘The Jumaat Initiatives’ mendapat namanya.

Sejak hari itu, kumpulan berjiwa masyarakat ini berjaya menjalankan sekurang-kurangnya satu kerja amal setiap minggu selama 56 minggu berturut-turut, selain memikat empat lagi rakan untuk sama-sama menyertai usaha mereka.

Inisiatif terbaru yang mendapat perhatian serta pujian dari para netizen ialah stesen ‘suspended groceries’ The Jumaat Initiatives yang pertama di Yishun.

Ketika #BERITAjelajah ke blok 513C Yishun Street 51, kabinet terpakai yang diisikan dengan beraneka barangan dapur diletakkan di kolong blok tanpa penjaga; hanya dua poster di dinding menerangkan tujuannya di situ.

AMBIL APA YANG PERLU, BERI APA YANG DIMAMPUI

‘The Jumaat Initiatives’ menyediakan gerobok terpakai berisi makanan dapur di Blok 513C Yishun Street 51 untuk galak penduduk membantu sesama jiran tetangga. (Gambar: Izzah Imran/BERITAmediacorp)

Berdasarkan konsep ‘ambil apa yang perlu, beri apa yang dimampui’, sistem tersebut memberi kepercayaan sepenuhnya kepada anggota masyarakat untuk hanya mengambil makanan yang benar-benar mereka perlukan. Di samping itu, ia juga memudahkan cara bagi penduduk menderma keperluan kepada jiran tetangga yang kurang berkemampuan.

“Setiap dua tiga hari, kami akan lihat ada beberapa barang yang telah diisikan. Walaupun ia kosong, esoknya kami akan lihat tempat yang kosong itu akan diisikan. Jadi, kami sangat gembira bahawa ada juga yang prihatin terhadap jiran-jiran yang lain,” kongsi Encik Hazwan Tahir yang berbesar hati dengan respons yang diterima sejak inisiatif itu dimulakan pada 26 September.

Sumbangan yang dialu-alukan termasuk makanan kering dan tidak mudah rosak seperti beras, biskut, minyak masak, mi segera dan gula. Makanan yang sudah tamat tarikh luputnya atau sudah dibuka bungkusannya tidak diterima. Sesiapa yang ingin menderma boleh sahaja meletakkan barangan itu di kabinet sendiri, atau meminta bantuan daripada The Jumaat Initiatives menerusi kumpulan Facebook mereka.

Buat fasa permulaan inisiatif ini, kabinet ditempatkan di kolong blok Encik Hazwan sendiri untuk memudahkan beliau mengendalikannya namun The Jumaat Initiatives merancang untuk memulakan tiga lagi stesen serupa di Tampines, Sengkang dan Bukit Batok dalam masa terdekat.

MASIH RAMAI YANG MEMERLUKAN BANTUAN

Menurut Encik Hazwan, keperluan membantu sesama jiran menjadi lebih genting lagi sejak pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi yang menyusul teruk menjejas periuk nasi ramai orang di sekeliling.

Maka itu, beliau bersama rakan-rakannya berharap dapat meringankan beban lebih ramai anggota masyarakat menerusi kerja-kerja amal yang kecil tetapi kreatif. Antara idea yang sedang dipertimbangkan termasuk membantu golongan lemah membersihkan dan menaik taraf rumah mereka.

“Kami berharap orang ramai di luar sana dapat juga mencontohi apa yang kami lakukan. Walaupun ia nampak kecil, tapi saya rasa manfaatnya kepada mereka yang sangat memerlukan sungguh besar”, ujarnya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan