Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Zoo London periksa berat badan haiwan untuk pantau kesan COVID-19

Seperti tahun-tahun lalu, Zoo London akan menimbang berat badan setiap haiwan di taman haiwan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Zoo London periksa berat badan haiwan untuk pantau kesan COVID-19

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 28 Aug 2020 01:40PM Dikemas Kini : 28 Aug 2020 02:19PM

LONDON: Seperti tahun-tahun lalu, Zoo London akan menimbang berat badan setiap haiwan di taman haiwan tersebut.

Namun ekoran penularan COVID-19 yang memaksa zoo itu ditutup buat tempoh yang paling lama sejak Perang Dunia Kedua, para penjaga haiwan juga tertanya-tanya tentang kesan penutupan zoo itu terhadap haiwannya setelah melihat sebilangan haiwan mengalami kemurungan akibat perintah berkurung yang dikuatkuasakan di London.

Kedudukan kewangan zoo yang berusia hampir 200 tahun itu turut terjejas akibat virus korona yang memaksanya ditutup sehingga Jun, namun kesan sebenar terhadap 19,000 haiwan di bawah jagaannya bakal ditentukan menerusi pemeriksaan berat badan yang dilakukan setiap tahun.

Penolong Kurator Haiwan Mamalia Teague Stubbington berkata menyimpan rekod saiz dan berat badan haiwan dan sebilangan kes kehamilan adalah penting bagi pihak zoo untuk memantau kesihatan setiap spesies namun kali ini ia dilakukan selepas tempoh yang menyulitkan bagi segelintir haiwan.

"Kambing pygmy sudah terbiasa melihat kanak-kanak mengunjunginya pada siang hari sehinggakan (semasa perintah berkurung) haiwan itu amat merindui kehadiran kanak-kanak," kata Encik Stubbington.

"Haiwan itu sebenarnya beratur di depan pagar kerana tidak sabar untuk bertemu dengan para pengunjung namun pada pukul 10.00 pagi (apabila tiada sesiapa yang datang untuk mengunjunginya), haiwan itu berasa kecewa," katanya sambil menambah bahawa para kakitangan zoo akan melawat haiwan tersebut semasa waktu rehat mereka untuk menceriakannya.

Meskipun dibuka secara terhad kepada sejumlah pengunjung, ZSL, badan pemuliharaan antarabangsa yang mengendalikan zoo itu, menyeru orang ramai supaya terus menyokongnya dengan membeli tiket, menyertainya sebagai anggota atau menyumbang derma

"Kemerosotan pada jumlah pengunjung dan kehilangan pendapatan menyukarkan keadaan," kata Encik Stubbington. "Ini merupakan tempoh penutupan paling lama sejak Perang Dunia Kedua."

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan