Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

YouTube lancar wadah video format pendek di S'pura

Para pencipta kandungan, kini anda boleh menyunting klip video menarik anda menerusi YouTube Shorts, iaitu wadah baru video format pendek. Versi beta dilancarkan hari ini (13 Jul) dan membolehkan pengguna menyunting video pendek langsung dari telefon bijak mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
YouTube lancar wadah video format pendek di S'pura

(Gambar: YouTube)

Diterbitkan : 13 Jul 2021 02:30PM Dikemas Kini : 13 Jul 2021 02:34PM

SINGAPURA: Para pencipta kandungan, kini anda boleh menyunting klip video menarik anda menerusi YouTube Shorts, iaitu wadah baru video format pendek.

Versi beta dilancarkan hari ini (13 Jul) dan membolehkan pengguna menyunting video pendek langsung dari telefon bijak mereka.

Ia pertama kali diumumkan pada September 2020 dan kemudian dibuka kepada para pengguna di 26 negara. Shorts - yang merupakan TikTok versi YouTube dan huraian kepada tahap tumpuan orang ramai yang kian singkat - kini dapat diakses dari lebih 100 negara di seluruh dunia di mana YouTube boleh digunakan. Ini termasuk Singapura.

Dengan wadah ini diperluaskan ke seluruh dunia, para pengguna kini dapat mengakses pelbagai kemudahan untuk menyunting video mereka. Ini termasuk kamera berbilang segmen untuk menyatukan beberapa klip video, keupayaan untuk merakam dengan muzik dan meletakkan teks pada detik tertentu dalam video.

Satu ciri istimewa adalah pengguna boleh memetik sampel audio bukan sahaja daripada video Shorts yang lain tetapi juga daripada mana-mana video yang terdapat di YouTube. Dengan itu, pengguna dapat menghasilkan versi kreatif mereka sendiri bagi kandungan YouTube lain - seperti memberi reaksi terhadap jenaka kegemaran mereka atau mencuba resipi terbaru pencipta lain.

YouTube menyatakan dalam satu kenyataan media bahawa pihaknya akan menambah lebih banyak ciri untuk dicuba para pengguna sedang mereka "terus membangunkan Shorts bersama dengan para pencipta dan artis kami".

Shorts akan digabungkan dengan YouTube sedia ada agar apabila seseorang pengguna mendengar petikan lagu di Shorts, mereka boleh dengan mudah mencari lagu yang lengkap, menonton video muziknya atau mengetahui lebih lanjut mengenai artis tersebut - semuanya di YouTube.

Platform tersebut sedang meninjau-ninjau cara untuk menjana wang daripada Shorts dan memberi ganjaran kepada pencipta atas kandungan mereka, termasuk menerusi Dana Shorts YouTube yang diumumkan pada Mei. Ia adalah dana AS$100 juta (S$135 juta) yang akan diagihkan sepanjang tahun ini dan tahun hadapan.

Menurut YouTube, Shorts sudah menjangkaui 6.5 bilion tontonan setiap hari di seluruh dunia.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan