Skip to main content

Iklan

Iklan

Teknologi

Yafiq, Yais Yusman & Nur Seryhana manfaatkan Instagram tonjol karya fotografi lain dari yang lain

Tiga anak muda Melayu Singapura menarik puluhan ribu pengikut setia di Instagram.

Anggaran Waktu Membaca:
Yafiq, Yais Yusman & Nur Seryhana manfaatkan Instagram tonjol karya fotografi lain dari yang lain

Gambar yang dipetik di Bali, Indonesia, pada awal tahun ini. (Gambar: @_yafiqyusman_)

BERITAMediacorp: Jika dahulu para penggemar fotografi lazimnya 'mencuci' filem sebelum dapat berkongsi gambar-gambar yang dipetik, kini ada 'Instagram' - cepat dan mudah!

Dengan adanya laman sosial tersebut, ramai yang memanfaatkannya untuk berkongsi karya fotografi mereka. Malah, ada yang sanggup mengorbankan masa dan wang serta berfikir luar daripada kebiasaan untuk memastikan gambar-gambar tersebut bermutu tinggi dan lain daripada yang lain.

BERITAMediacorp menyelami dunia Instagram, yang penuh dengan tanda pagar atau #hashtags, di mana tiga anak muda Melayu Singapura adalah antara golongan belia yang mampu menarik puluhan ribu pengikut setia hanya dengan menekan butang kamera mereka.

Petikan gambar bangunan-bangunan secara kreatif menggunakan cermin. (Gambar: @_yafiqyusman_)

Petikan gambar bangunan-bangunan secara kreatif menggunakan cermin. (Gambar: @_yafiqyusman_)

TERAPI APABILA GAMBAR DIPETIK MENGGEMBIRAKAN ORANG LAIN

Minatnya dalam fotografi berputik semasa menuntut dalam bidang seni bina di Politeknik Singapura. Apabila wadah Instagram dilancarkan pada tahun 2010, minat itu semakin membuak-buak. Setakat ini Muhammad Yafiq Yusman sudah meraih lebih 60,000 pengikut di laman Instagram beliau, yang dimulakan sekitar setahun kemudian.

“Apabila saya memuat naik gambar-gambar di Instagram, kepuasannya adalah saya berpeluang meluahkan perasaan dalam bentuk gambar yang bersesuaian dengan luahan hati yang mampu menggembirakan orang lain. Bagi saya, ia adalah satu bentuk terapi,” kata pemuda berusia 25 tahun yang menjadi pemilik akaun @_yafiqyusman_.

Yafiq memberitahu BERITAMediacorp, beliau cenderung memetik gambar-gambar yang mengetengahkan bangunan-bangunan sebagai subjek beliau.

Antara tawaran untuk mengendalikan projek sementara, seperti kempen untuk syarikat pakaian Jepun. (Gambar: @_yafiqyusman_)

Perkongsian di laman Instagram ternyata berbaloi bagi Yafiq. Ini kerana peluang-peluang sampingan mula timbul pada tahun 2014 apabila beliau menerima tawaran untuk mengendalikan projek-projek sementara. Bukan saja bakatnya dalam seni visual dapat digilap, malah ia turut menjana pendapatan tambahan.

Yafiq dijemput menyertai sesi perkongsian kemahiran dan minat selama 2 jam anjuran Apple, pada pertengahan tahun lalu. (Gambar: @_yafiqyusman_)

“Secara tidak langsung saya berpeluang memberi inspirasi kepada orang ramai menerusi petikan gambar saya. Jadi, apabila seseorang memberitahu saya bahawa beliau mula menggunakan kamera kerana saya, ia adalah satu perasaan yang amat memuaskan!” jelas Yafiq.

Sehingga kini, Yafiq yang bertugas sebagai Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) Plexxie.com, iaitu sebuah wadah rangkaian online khusus untuk golongan kreatif, masih bergantung kepada telefon bijak beliau untuk menghasilkan gambar-gambar yang dimuat naik ke laman Instagram beliau.

KREATIVITI LUAR DARIPADA KEBIASAAN

(Gambar: @_yaisyusman_)

Yang menariknya, minat fotografi Yafiq turut dikongsi oleh adik kembar beliau, Muhammad Yais Yusman. Yais juga kerap kali memetik gambar yang mengetengahkan bangunan-bangunan menggunakan telefon bijaknya, namun beliau menawarkan kelainan di lamannya @_yaisyusman_.

Menurut Yais, lulusan Politeknik Ngee Ann dalam bidang Pengajian Perniagaan dan kini bekerja dalam industri kreatif: “Saya suka petik gambar yang kreatif seperti saya suka memutar perspektif gambar-gambar saya menjadikannya berbeza (berbanding petikan awal). Selain itu, saya juga suka meletakkan seseorang dalam gambar saya. Saya juga menggunakan cermin dan memang minat melakukan sedemikian.”

Memutar perspektif gambar-gambar yang dipetik sebagai salah satu keunikan karya Yais. (Gambar: @_yaisyusman_)

Yang pasti, gambar-gambar pasangan adik-beradik kembar itu berhasil memancing puluhan ribu pengikut disebabkan mutunya yang tinggi serta kreativitinya yang luar daripada kebiasaan.

Berbeza dengan Yafiq dan Yais, pemilik akaun @sallywaldorf, Nur Seryhana Jamali, 25 tahun, kerap menggunakan kamera profesional DSLR untuk memetik gambar-gambar yang dimuat naik ke laman Instagram beliau.

(Gambar: @sallywaldorf)

PERLU BENTUK IDENTITI SENDIRI, ADA MESEJ JELAS

Sekalipun demikian, peralatan bukan penentu visual yang menarik, sambil menekankan perlunya untuk membentuk identiti sendiri serta mempunyai mesej yang jelas menerusi gambar-gambar yang dimuat naik ke laman Instagram.

“Peralatan yang digunakan tidak penting asalkan anda mempunyai idea yang ingin diketengahkan dan memastikan mesej yang mahu disampaikan menerusi petikan gambar itu jelas. (Ini akan mendorong) orang untuk memahami apa yang ingin disampaikan dan selalu menyokong gambar yang bersertakan penceritaan,” kata beliau, yang lebih mesra dipanggil Sery.

Beliau yang mempunyai lebih 60,000 pengikut di laman Instagram, kini mengimbangi masa antara kerjaya sepenuh masa sebagai pereka media dengan projek-projek bebas yang merangkumi acara, gaya hidup dan lain-lain.

Gambar dipetik semasa Festival Tanglung Yi Peng di Chiang Mai, Thailand, tahun lalu.(Gambar: @sallywaldorf)

Selain membuka ruang untuk berkongsi idea, Instagram dapat membantu para penggemar fotografi seperti Yafiq, Yais dan Sery untuk menajamkan kemahiran serta meluaskan minda apabila disuntik daya ilham setelah menatap berjuta-juta gambar lain di laman itu.

Merakam suasana semasa bercuti di Pontocho, Kyoto, Jepun. (Gambar: @sallywaldorf)

Sery akur terdapat peluang sedemikian yang dimanfaatkannya: “Saya mengumpulkan inspirasi daripada pelbagai individu. Terdapat ramai individu kreatif yang begitu hebat! Kerap kali, saya menceduk inspirasi dari Amerika, Eropah dan bukan Singapura sahaja.”

SUNTING GAMBAR UNTUK TAMBAH NILAI, BUKAN PROSES WAJIB

Pilihan lokasi seperti Queesnstown di Singapura mampu menghasilkan gambar 'Instagrammable' dengan hampir 3,000 'Likes'. (Gambar: @_yaisyusman_)

Apabila melihat gambar-gambar 'Instagrammable' anak-anak muda itu, mungkin timbul persoalan sekiranya ia benar-benar dipetik seseorang yang berbakat dan mahir ataupun disebabkan teknologi penyuntingan semata-mata.

Menurut Yafiq: “Saya tidak fikir bahawa teknologi (banyak) membantu, tetapi ia lebih disebabkan minat. Jadi, apabila anda mempunyai minat anda akan cenderung bangkitkan diri setiap kali untuk mengasah kemahiran.”

Petikan gambar di Holland Village. (Gambar: @_yaisyusman_)

Soalan sedemikian juga sering dilemparkan kepada Yais. Walaupun beliau menyunting gambar-gambar yang dipetik, namun beliau menekankan pentingnya pemahaman jelas tentang “peraturan-peraturan asas” fotografi, memandangkan proses menyunting hanya bertujuan menambah nilai kepada gambar dan bukan proses wajib.

Bagaimanapun, penggunaan turas warna atau 'filter' misalnya, boleh 'menguatkan' personaliti gambar yang dipetik.

Turas warna mampu mempertingkat mutu gambar. (Gambar: @sallywaldorf)

Sery memberitahu BERITAMediacorp, apabila digunakan sewajarnya, turas warna mampu menonjolkan personaliti, menarik perhatian kepada ciri-ciri tertentu dan membantu orang lain membentuk persepsi terhadap satu-satu gambar.

Antara petikan gambar di blok 64, Yung Kuang Road, iaitu lokasi kegemaran Yafiq & Yais bagi memperkenalkan para individu asing kepada Singapura. (Gambar: @_yafiqyusman_)

Apabila ditanya lokasi manakah di Singapura ini yang paling gemar dikunjungi untuk memetik gambar, Yais dan Yafiq sebulat suara mengatakan Yung Kuang Road. “Apabila pergi ke sana, mesti ada gambar yang baru, gambar yang unik atau menarik (untuk dipetik), untuk meneroka lebih banyak idea lagi,” tambah Yafiq.

Sumber : BERITA Mediacorp/HS/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan