Images
  • junior art group (1)
    (Gambar: Singapore Silent Heroes)

'Wira balik tabir’ Aminur Rasyid bertekad pupuk daya kreatif kanak-kanak kurang bernasib baik sehingga mampu sara hidup keluarga

SINGAPURA: Encik Aminur Rasyid Mohamed Anwar, 31 tahun, pernah berkerjaya sebagai kakitangan operasi darat syarikat penerbangan Delta Air Lines.

Namun beliau tidak pernah berpuas hati dengan setakat berpeluk tubuh sambil mengharungi rutin kerja harian ‘9 to 5’ di pejabat sebuah syarikat terkenal.

Ini kerana Aminur Rasyid sudah menyedari sejak dari awal lagi bahawa beliau ingin membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

“Ketika membesar, keluarga saya sering menggalak kami supaya menyumbang semula (kepada masyarakat).

“Saya benar-benar memahami keadaan kanak-kanak sedemikian, lebih-lebih lagi mereka yang serba kekurangan dari segi pelajaran dan masalah kurang yakin pada kebolehan diri sendiri,” kongsi Aminur Rasyid dengan laman Pergerakan Baik Budi Singapura (Singapore Kindness Movement) yang diterbitkan oleh The Pride.


Encik Aminur Rasyid menerima Anugerah Wira Balik Tabir Singapura 2019 yang disampaikan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga ketika itu, Encik Desmond Lee. (Gambar: Singapore Silent Heroes)

Berbekalkan dorongan kakak dan para pembimbing serta simpanannya selama berbulan-bulan lamanya, Aminur Rasyid akhirnya memutuskan untuk menukar kerjaya demi mendalami minatnya terhadap seni lukis.

Pada 2016, lahirlah perusahaan sosial Junior Art Lab yang mengendalikan bengkel-bengkel seni lukis digital bagi melengkapkan kanak-kanak yang kurang bernasib baik dengan kemahiran digital sambil memupuk daya kreatif mereka dalam seni lukis dan reka bentuk.

MERANGSANG DAYA KREATIF LEBIH 2,000 KANAK-KANAK

Aminur Rasyid adalah antara penerima Anugerah Wira Balik Tabir Singapura 2019 (Singapore Silent Heroes Awards) bagi kategori Belia Berinspirasi yang mengiktiraf individu-individu yang menabur bakti kepada masyarakat tanpa meminta apa-apa ganjaran atau penghargaan atas sumbangan mereka.

Aminur Rasyid memberitahu laman The Pride: “Ideanya adalah untuk membina keyakinan, dan juga merapatkan jurang digital dengan mengajar mereka kemahiran menggunakan komputer.” 


Sejauh ini program-program pendampingan dan bengkel-bengkel Junior Art Lab berhasil membawa perubahan yang positif kepada lebih 2,000 kanak-kanak dan belia sejauh ini.

Junior Art Lab juga sudah bekerjasama dengan lebih 50 pertubuhan khidmat masyarakat termasuk Rumah Anak Yatim Darul Ihsan, Thye Hua Kwan Moral Society, Pusat Khidmat Keluarga dan Pelajar Ang Mo Kio serta Persatuan Rakyat (PA) untuk merangsang daya kreatif kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan belia berisiko.

Seiring dengan misi membina keyakinan setiap pelajar dalam penggunaan teknologi bagi mempersiapkan mereka menghadapi dunia serba digital, Junior Art Lab berjaya memperoleh alat-alat dilengkapi skrin sentuh dari pertubuhan-pertubuhan seperti Perikatan Palsi Serebrum Singapura (CPAS), Gerakan Bagi Golongan Kurang Upaya Intelektual (MINDS) dan Persatuan Golongan Berkeperluan Khas (APSN), dengan bantuan pembiayaan dana daripada Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF), menurut laman Silent Heroes Singapore.

KARYA SENI DIJADIKAN MATA PENCARIAN

Hasil sokongan dan bimbingan Aminur Rasyid, ‘artis makmal’ Junior Art Lab yang pertama, Muhd Sayfullah yang mengalami palsi serebrum sehingga lumpuh kedua-kedua kaki dan tangan, berupaya menerbitkan sendiri karya lukis digitalnya yang dicetak pada kad-kad ucapan dan beg-beg jinjing serta cawan.


Hasil karya Muhd Sayfullah. (Gambar: Artably.sg)

Menurut profil di laman Artably.sg, Sayfullah gemar melukis kartun warna-warni dan yang unik kerana ia mencerminkan keperibadiannya yang ceria dan senang beramah mesra dengan orang di sekelilingnya, lebih-lebih lagi dengan keluarga dan orang-orang tersayang.

Penjualan hasil karya seninya yang dijual di lelaman Artably.sg menjadi sumber pendapatan bagi Sayfullah dan keluarganya.

MENDIDIK DALAM NORMA BARU

Junior Art Lab mengendalikan sebuah program di Enabling Village dengan sepasang artis belia berkeperluan khas dan mereka kemudian dilamar sebagai pekerja sambilan.

“(Artis-artis) kami tidak terfikir bahawa mereka sebenarnya mempunyai bakat kreatif kerana mereka tidak mempunyai latar belakang dalam bidang seni dan reka bentuk. Mereka kelihatan gembira menyertai pasukan kami dan kami berbangga dan berbesar hati dapat menampilkan karya mereka,” kata Aminur Rasyid.

Dalam masa beberapa bulan kebelakangan ini, Aminur Rasyid berdepan dengan cabaran membuat penyesuaian kepada norma baru di tengah-tengah pandemik COVID-19. Beliau rindu bertemu muka dengan para pelajar memandangkan bengkel-bengkel kini dikendalikan secara online bagi mematuhi peraturan jarak selamat.

Bagaimanapun, anugerah yang diterimanya merupakan satu pengiktirafan atas bakti beliau dan pasukannya kepada masyarakat.

“Pada mulanya, saya hanya melakukan apa yang saya minat, apa yang saya gemar lakukan. Saya tidak fikir ia boleh berkembang sehingga ke hari ini.

“Saya berasa beruntung dan bernasib baik kerana berupaya melakukan kerja-kerja bermakna dan menyumbang semula kepada masyarakat,” kata Aminur Rasyid kepada laman The Pride.

Pencalonan bagi Anugerah Singapore Silent Heroes 2020 dibuka hingga 18 Oktober. Sila lungsuri www.sgsilentheroes.com untuk membuat pencalonan. 

- Agensi berita/ZM/zm

Top