Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

WHO: Alkohol punca kematian 3 juta orang serata dunia setiap tahun

Alkohol menjadi punca kematian bagi tiga juta orang merata dunia setiap tahun. Jumlah ini melebihi jumlah keseluruhan mereka yang meninggal dunia akibat AIDS, keganasan dan kemalangan jalan raya.

Anggaran Waktu Membaca:
WHO: Alkohol punca kematian 3 juta orang serata dunia setiap tahun

(Gambar hiasan: Ngau Kai Yan)

Diterbitkan : 22 Sep 2018 10:10AM Dikemas Kini : 22 Sep 2018 10:18AM

GENEVA: Alkohol menjadi punca kematian bagi tiga juta orang merata dunia setiap tahun. Jumlah ini melebihi jumlah keseluruhan mereka yang meninggal dunia akibat AIDS, keganasan dan kemalangan jalan raya.

Demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menambah bahawa golongan lelaki khususnya berdepan dengan risiko itu.

Laporan kesihatan terkini setebal 500 muka surat agensi kesihatan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang alkohol dan kesihatan, menarik perhatian bahawa minuman keras membentuk lebih lima peratus punca kematian dunia setiap tahun termasuk memandu dalam keadaan mabuk, melakukan keganasan di bawah pengaruh dan penyalahgunaan alkohol dan pelbagai penyakit serta masalah kesihatan lain.

Lebih 75 peratus yang meninggal dunia akibat alkohol merupakan kaum Adam.

"Terlalu ramai orang, keluarga dan masyarakat mereka yang menanggung akibat daripada pengambilan alkohol yang membahayakan, melalui keganasan, kecederaan, masalah kesihatan mental, jangkitan serta penyakit seperti angin ahmar dan barah," kata Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kenyataan.

Meminum alkohol juga dikaitkan dengan lebih 200 masalah kesihatan, termasuk sirosis hepar dan beberapa jenis penyakit barah.

Penyalahgunaan alkohol turut membuat mereka yang meminumnya lebih terdedah kepada penyakit berjangkit seperti batuk kering, HIV dan radang paru-paru.

Menurut perangkaan terkini yang diperolehi, sekitar tiga juta kematian akibat alkohol yang didaftarkan merata dunia pada 2016 membentuk 5.3 peratus keseluruhan jumlah kematian pada tahun berkenaan.

Bagi golongan muda, perangkaannya jauh lebih membimbangkan. 13.5 peratus kematian dalam kalangan mereka yang berumur antara 20 hingga 29 tahun berpunca daripada alkohol.

MEMBEBANKAN

Secara perbandingan, HIV/AIDS menjadi punca bagi 1.8 peratus kematian di seluruh dunia pada 2016, manakala kecederaan nahas jalan raya membentuk 2.5 peratus dan keganasan 0.8 peratus.

Perangkaan terkini lebih rendah daripada laporan terakhir WHO sebelum ini tentang pengambilan alkohol yang diterbitkan pada 2014.

Terdapat "beberapa trend global yang positif", menurut agensi itu sambil menarik perhatian bahawa jumlah mereka yang meminum terlalu banyak alkohol mahupun mereka yang meninggal dunia akibat alkohol berkurangan sejak 2010.

Namun, ia memberi amaran "beban menanggung masalah kesihatan atau kecederaan akibat pengambilan alkohol begitu tinggi," terutama sekali di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat.

Dianggarkan 237 juta lelaki dan 46 juta wanita mengalami masalah sukar mengawal pengambilan alkohol, menurut WHO.

WHO menggesa negara-negara untuk meningkatkan usaha bagi menangani pengambilan arak yang membahayakan dan mengurangkan pengambilan alkohol global sebanyak 10 peratus antara 2010 hingga 2025.

Ia turut menggesa negara-negara untuk mengenakan cukai dan mengharamkan pemasaran alkohol dalam usaha mengurangkan pengambilannya.  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan