Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Watak Star Wars mendarat di Sentosa

Acara Sentosa Sandsation iaitu pesta arca pasir terbesar Asia Tenggara berlangsung di Pantai Siloso dari Sabtu 31 Ogos hingga 15 September.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Acara Sentosa Sandsation iaitu pesta arca pasir terbesar Asia Tenggara berlangsung di Pantai Siloso dari Sabtu 31 Ogos hingga 15 September.

Sebaik sahaja para pengunjung melangkah masuk ke pameran itu, mereka boleh merasakan seperti berada dalam kapsul masa bagi siri Star Wars yang mula diterbitkan pada tahun 1977.

Para pengunjung akan bertemu dahulu dengan watak-watak ikonik dari episod lama Star Wars seperti Princess Leia dan Chewbacca.

Kemudian disusuli pula watak-watak dan elemen baru serta yang akan diperkenalkan dalam episod terbaru yang bakal muncul di pawagam Disember nanti.

Yang pasti, kawasan seluas 3,000 meter persegi di Pantai Siloso sudah bertukar menjadi kawasan pameran bagi 21 arca gergasi bertemakan Star Wars.

Dengan hanya menggunakan air dan 2,000 tan pasir dari simpanan pasir Sentosa, para artis pasir terkemuka dunia mengambil masa dua minggu untuk membentuk kesemua arca pasir tersebut.

Walaupun arca-arca utama sudah selesai dibina, para pengukir yang terlibat sedang berusaha merebut pula Anugerah Golden Shovel dalam Kejohanan Membentuk Arca Pasir Antarabangsa.

Bermula hari ini (30 Ogos) sehingga 2 September, para artis dari 10 buah negara akan membentuk arca pasir mereka bertemakan "Cahaya dan Kegelapan" yang akan diadili panel juri profesional termasuklah Pengarah Kreatif Sentosa Sandsation sendiri JOOheng Tan.

Encik Tan memberitahu antara peserta tersebut merupakan pengarca pasir terhebat dunia dan para juri mencari hasil karya yang menakjubkan, sesuatu yang anda tidak pernah dilihat sebelum ini.

Selain dapat bergambar dan menyaksikan betapa telitinya hasil seni ini, para pengunjung juga boleh mengambil bahagian dalam kegiatan sampingan termasuk bengkel membina arca pasir dan tayangan filem percuma.

Edisi Star Wars tersebut adalah yang pertama hasil kerjasama tiga tahun Perbadanan Pembangunan Sentosa dengan syarikat Walt Disney Asia Tenggara.

Bermakna, para pengunjung boleh menjangkakan lebih banyak watak-watak dari penerbitan Walt Disney dalam edisi Sentosa Sandsation akan datang.

Demi menggalak lebih ramai pengunjung ke acara itu sempena cuti sekolah nanti, bayaran masuk untuk semua penduduk Singapura ke Sentosa akan ditiadakan dari esok hingga 15 September ini.

Semestinya, dengan adanya sejumlah 34 arca pasir gergasi yang sangat 'instagrammable', pengguna media sosial dijangka tidak akan melepaskan peluang ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan