Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Warna Oh Warna - Biru klasik trend warna 2020…

Jika pada tahun 2019 warna jingga coral merupakan Color of the Year, pada tahun 2020 ini warna biru klasik pula mengambil alih!

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Jika pada tahun 2019 warna jingga coral merupakan Color of the Year, pada tahun 2020 ini warna biru klasik pula mengambil alih!

Syarikat koordinasi warna terkemuka Institut Pantone Color baru-baru ini meramalkan biru klasik sebagai warna yang akan mendominasi carta warna tahun 2020. Syarikat yang berpangkalan di New Jersey, Amerika Syarikat ini memilih warna biru klasik sebagai simbol rasa tenang, keyakinan dan perhubungan.

Tambahan, warna ini turut melambangkan sesuatu yang ‘tak jemi memandang’ dan tidak dimakan usia. Kaya dengan ciri-ciri kelembutan, biru klasik merupakan warna yang tidak asing lagi dan sering menjadi kegemaran dan pilihan ramai. Rona tenang ini turut dikaitkan dengan warna langit dan laut.

Menurut Pengarah Eksekutif Institut Pantone Color, Leatrice Eiseman, warna biru klasik ini menggalakkan orang ramai untuk pandang ke arah lebih jauh dan sekali gus dapat meluaskan lagi pemikiran, mencabar minda untuk memikir dengan lebih mendalam dan terperinci. Di samping itu, ia dapat tingkatkan lagi perspektif dan membuka aliran komunikasi.

Bagi yang gemar mengikuti perkembangan trend masa kini, tak kiralah dari segi fesyen, dekor rumah, tatarias dan sebagainya anda pasti tidak sabar untuk bereksperimen dengan warna versatil ini.
Jom!

UNIK & VERSATIL

Mudah dipadankan dan digayakan dengan apa saja. Biru klasik merupakan antara rona yang unik. Jika bijak memadankannya, warna ini dapat menyerlahkan penampilan. Tidak terhad untuk gaya fesyen sahaja, rona biru klasik versatil dan dapat mewarnai dari pelbagai aspek dan memberikan sentuhan elegan.

Bagi yang ingin membuat perancangan awal untuk menempah baju raya warna sedondon, bolehlah mengikut trend 2020 dengan memilih fabrik warna biru klasik, tak kira sama ada bercorak atau tidak.

Bakal mempelai yang akan ke jinjang pelamin juga boleh menimbangkan biru klasik sebagai warna tema majlis mereka. Selain dekor, anda juga boleh menggayakan songket tradisional rona biru untuk persandingan. Semuanya terpulang mengikut citarasa masing-masing.

Tidak terhad untuk pilihan baju raya dan tema warna majlis persandingan, rona biru klasik turut tampil classy bila digabungkan dalam hiasan sesebuah kediaman. Jika anda bakal berpindah ke rumah baru dan sedang mencari aksesori hiasan dan sebagainya, cubalah sesuatu yang berbeza.

Inilah masanya untuk membeli langsir, bingkai gambar, permaidani atau set pinggan dan cawan yang beroleskan warna biru klasik. Tapi jangan terlalu keterlaluan hingga satu rumah semuanya warna biru. Sakit pula mata memandang!

Dari segi pemakaian seharian, rona biru klasik turut dilabelkan sebagai warna yang selamat untuk digayakan. Tidak membosankan dan tidak keterlaluan. Jika anda kurang pasti atau kurang yakin untuk menggayakannya, sudah tiba masanya untuk anda mencuba sesuatu yang berbeza. Ayuh rombak semula pakaian almari anda dan isikan dengan beberapa pilihan pakaian dan aksesori berona biru klasik!

Bagi yang sudah pun mempunyai koleksi pakaian berona biru klasik ini, rasanya tahun 2020 adalah masa yang tempat untuk anda tayangkan semula koleksi pakaian yang ada dan tampil bergaya mengikut trend terkini!

12 GAYA BIRU KLASIK

1. JAKET & BLAZER

Ceriakan suasana pejabat dengan menggayakan blazer warna biru. Jika selalunya anda gemar memakai blazer warna gelap seperti hitam dan kelabu, apa kata tukar cita rasa dan padankan blazer biru dengan seluar atau skirt warna kontras.

2. SELUAR JEANS DAN BUT

Seluar jeans potongan leggings tepat digayakan dengan but bertumit. Agar rona birunya tidak keterlaluan, cuba padankan dengan kasut atau but dwiwarna seperti gabungan biru dan kelabu. Untuk lengkapkan gaya, bawa bersama beg biru kegemaran anda!

3. BEG

Saiznya tidak terlalu kecil atau besar, sesuai untuk dibawa ke mana saja. Beg warna biru ini memberi penampilan yang menarik dan sukar jemu.

4. PEMBAYANG MATA

Anda rasa kuno bila teringatkan solekan mata biru zaman 1980-an? Pastinya tidak lagi sekarang kerana cita rasa dulu dan sekarang berbeza. Malah, pembayang mata biru kini menjadi tarikan dan pilihan ramai. Ia dapat memberikan penampilan yang lebih elegan membuat mata lebih dramatik!

5. TUMIT TINGGI

Setiap wanita akan kelihatan lebih seksi apabila bertumit tinggi. Dengan pilihan tumit warna biru klasik ia juga dapat menyerlah lagi gaya membuat anda lebih penuh bergaya. Padankan dengan seluar, skirt atau baju Melayu pilihan anda.

6. SELUAR JOGGER

Bukan untuk bersukan saja. Seluar jenis ini sering menjadi pilihan ramai jejaka kerana fabriknya yang lembut dan selesa. Sesuai dipadankan dengan kemeja-T dan sniker. Bagi yang berhasrat untuk membeli jogger pants, pilihlah warna biru klasik dan elakkan warna hitam yang membosankan!

7. SNIKER & JEANS

Padanan yang ideal bila anda menggayakan sniker dengan jeans biru. Tapi, pastikan kemeja-t atau kemeja anda tidak berwarna biru. Sebaliknya anda boleh tampil lebih segak apabila berkemeja warna putih atau pilihan rona lembut yang lain. Ia dapat memberikan gaya kontras dan anda tidak akan kelihatan seperti memakai pakaian seragam serba biru.

8. MOTIF BATIK

Fabrik batik merupakan trend sepanjang masa. Diterapkan dengan nilai-nilai tradisional, batik tampil dalam pelbagai corak abstrak berlatarkan rona biru. Tidak kira usia, sesiapa saja boleh bergaya dengan batik dan ia sesuai untuk semua majlis.

9. SHAWL

Padankan shawl warna biru klasik dengan aneka pilihan pakaian. Tidak kira shawl bercorak atau tidak, yang pasti ia dapat memberikan penampilan yang lebih anggun!

10. RUANG TAMU

Hiasi ruang tamu anda dengan aksesori dan hiasan bertemakan warna biru. Untuk memberikan penampilan kontras, padankan kusyen warna biru dengan sofa kelabu selain hiasan dinding corak biru abstrak.

11. CAWAN TEH

Cantiknya apabila dapat menjamu tetamu dengan sajian minuman teh petang ala English tea dengan beralaskan piring dan cawan corak warna biru. Tepat lagi jika dihidangkan dengan cemilan seperti biskut dan kek.

12. BUNGA TANGAN

Untuk bakal pengantin, padankan pakaian songket atau gaun putih berenda dengan bunga tangan yang digabungkan dengan bunga warna biru. Ia pasti akan mendapat tarikan tetamu selain menyerikan lagi aura pengantin anda.

Jadi, apa lagi? Selamat mencuba dunia biru! 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan