Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Wanita pertengahan usia mudah terdedah kepada kemurungan, keresahan

Wanita pertengahan usia yang mempunyai daya fizikal kurang cergas mungkin lebih cenderung mengalami kemurungan dan keresahan, menurut satu kajian yang dijalankan di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita pertengahan usia mudah terdedah kepada kemurungan, keresahan

(Gambar fail: AP)

Diterbitkan : 19 Jun 2019 11:41AM Dikemas Kini : 19 Jun 2019 11:50AM

SINGAPURA: Wanita pertengahan usia yang mempunyai daya fizikal kurang cergas mungkin lebih cenderung mengalami kemurungan dan keresahan, menurut satu kajian yang dijalankan di Singapura.

Secara khusus, mereka yang mempunyai genggaman yang lemah dan memerlukan masa lebih lama untuk bangun dari tempat duduk lebih cenderung menunjukkan simptom-simptom kemurungan dan keresahan, menurut para pengarang rencana dalam jurnal Menopause.

"Wanita pertengahan usia merata dunia berada dalam kedudukan amat rumit: mereka mengimbangi tuntutan anak-anak, ibu bapa penuaan, suami dan pekerjaan," kata pengkaji kanan Yong Eu-Leong dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

"Mereka berkorban di tengah-tengah kesemua tuntutan ini, dan kadangkala mengabaikan keperluan mereka sendiri," kata beliau kepada Reuters Health menerusi kiriman emel. "Keresahan dan kemurungan mungkin berlaku tanpa dikesan."

Yong dan rakan-rakan sekerja beliau menjalankan tinjauan melibatkan lebih 1,100 wanita berusia antara 45 hingga 69 tahun yang menjalani pemeriksaan sakit puan secara kerap di Hospital Universiti Nasional (NUH) di Singapura.

Semasa mereka menjalani pemeriksaan, para pengkaji menilai daya fizikal mereka dengan mengukur kekuatan genggaman masing-masing.

Para pengkaji juga menilai daya fizikal bahagian bawah tubuh dengan mengukur kelajuan berjalan, keupayaan mengimbang diri ketika berdiri dan mengukur tempoh yang diambil untuk bangun dari tempat duduk lima kali tanpa menggunakan tangan.

Pasukan pengkaji tersebut turut menanyakan soalan-soalan yang diiktiraf oleh piawai antarabangsa untuk menilai sama ada dan berapa kerap wanita-wanita itu mengalami simptom-simptom yang dikaitkan dengan keresahan dan kemurungan, termasuk perasaan sedih, hilang minat, kelelahan, kesukaran untuk tidur dan hilang selera makan, dalam tempoh seminggu sebelum janji temu mereka.

Secara keseluruhannya, 180 wanita, atau sekitar 16 peratus responden mengalami simptom-simptom kemurungan atau keresahan. Mereka yang berusia antara 45 hingga 54 tahun lebih cenderung mengalami simptom-simptom tersebut.

Simptom-simptom itu tiada kaitan dengan keadaan putus haid, ciri-ciri sosial dan demografi atau pilihan gaya hidup seperti merokok atau meminum minuman keras.

Namun, ciri-ciri fizikal dan daya fizikal menyumbang kepada perbezaan yang menentukan sama ada seseorang wanita mengalami simptom-simptom keresahan dan kemurungan.

Para wanita dengan genggaman yang lemah 68 peratus lebih berkemungkinan mengalami simptom-simptom tersebut. Mereka yang mencatat tempoh lebih lama untuk menyelesaikan ujian bangun dari tempat duduk 33 peratus lebih cenderung mengalami simptom-simptom itu.

"Kajian kami menunjukkan hubungan yang menarik antara keadaan minda dengan tubuh. Ini menunjukkan bahawa daya fizikal terkait rapat dengan kesihatan mental," kata Yong.

Meskipun mereka sibuk, para wanita pertengahan usia perlu mengutamakan kekuatan otot dan melakukan senaman daya ketahanan, menurut para pengkaji.

"Senaman adalah sesuatu yang menyeronokkan dan percuma. Ia boleh melegakan perasaan," kata Yong. "Peruntukkanlah masa, dan sertakannya dalam rutin keluarga."

Sumber : Reuters/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan