Images
  • tourist
    (Gambar fail: Reuters) 

Wanita Muslim belanja lebih RM335 bilion semasa melancong

KUALA LUMPUR: Lebih kurang 63 juta wanita Muslim berbelanja lebih daripada AS$80 bilion (S$109 bilion) atau RM335 bilion (S$456 bilion) ketika membuat perjalanan pada tahun lepas, menurut laporan yang dikeluarkan oleh MasterCard dan CrescentRating.

Laporan 'CrescentRating Muslim Women in Travel 2019' menunjukkan wanita Islam membentuk 45 peratus daripada pelawat Muslim di peringkat global.

Tahun lepas merekodkan sebanyak 28 peratus wanita Muslim membuat perjalanan secara solo, ini mencerminkan golongan muda wanita Islam, sudah bersedia untuk meneroka dunia.

Manakala, dua pertiga terdiri daripada mereka yang berusia 40 tahun atau lebih muda, menunjukkan wanita Muslim menjadi pendorong utama dalam industri pelancongan.

Lebih separuh daripada mereka menggunakan platform media sosial untuk mencari penginapan, logistik dan tempat makan.

Malaysia mendahului senarai 10 negara yang paling popular di dunia sebagai destinasi mesra wanita Muslim, di hadapan Amiriah Arab Bersatu, Turki dan Indonesia, menurut laporan itu.

"Walaupun perkembangan pesat dalam pasaran perjalanan wanita Islam, kajian mengenai perkembangan ini masih lagi amat kurang, khususnya bagi memahami segmen tersebut, dengan tujuan untuk melihat cabaran spesifik yang mereka tanggung.

Katanya lagi, lebihan pendapatan dalam kalangan wanita Muslim sudah semakin bertambah dengan sebahagian besar daripada mereka melakukan perjalanan sebanyak dua hingga tiga kali setahun.

Seramai 90 peratus daripada mereka membuat perjalanan untuk tujuan riadah, diikuti dengan perjalanan berkaitan keagamaan (21 peratus) dan perniagaan (11 peratus).

Kajian juga mengesahkan bahawa wanita Muslim banyak mempengaruhi rancangan perjalanan tanpa mengambil kira siapa peneman mereka tetapi majoriti atau 71 peratus, akan melakukan perjalanan dengan keluarga dan lebih suka memilih destinasi yang mesra keluarga.

Pelancong wanita Muslim juga turut menitikberatkan kemudahan keagamaan semasa dalam lawatan mereka dengan 94 peratus daripada responden, memberi keutamaan ke atas makanan halal.

"Akses kepada fasiliti keagamaan dengan bilik solat wanita (86 peratus) dan spa serta salun kecantikan untuk wanita sahaja (79 peratus), menjadi faktor utama dalam itinerari mereka.

"Keadilan sosial, bahagian terpenting dalam keyakinan mereka, juga mempengaruhi perancangan perjalanan mereka, dengan 73 peratus memilih perjalanan luar negara yang mesra alam," menurut laporan itu.

- BERNAMA/NA/na

Top