Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Wanita Melayu baik budi ini jadi ‘ibu’ bagi 800 anak susah luar negara, dipanggil ‘Ibu Pensel'

Sempena Hari Baik Budi Sedunia hari ini, BERITAMediacorp bertemu dengan Cik Sarimah yang boleh dianggap seorang yang amat baik budi sehingga menjadi 'ibu' kepada ratusan anak.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Dewasa ini tidak ramai orang boleh mendakwa mempunyai ramai anak. Tapi seorang wanita Singapura bernama Cik Sarimah Amat boleh!

Malah bukan setakat lima atau enam orang anak, tetapi beliau mempunyai lebih 800 'anak’.

Sempena Hari Baik Budi Sedunia hari ini, BERITAMediacorp bertemu dengan Cik Sarimah yang boleh dianggap seorang yang amat baik budi sehingga menjadi 'ibu' kepada ratusan anak.

BANTU WALAU BUKAN DARAH DAGING SENDIRI

Selain tiga orang anak kandung Cik Sarimah Amat turut menjaga dua anak titipan.

Dalam pada itu beliau juga menjaga tiga cucu saudaranya bagai anak sendiri, setelah ibunya menghilangkan diri.

Begitulah mulianya hati beliau. Membantu anak-anak yang memerlukan kasih sayang dan perlindungan, walaupun mereka bukan darah dagingnya sendiri dan meskipun beliau sendiri tidak lagi bekerja.

(Gambar: Nurulkhasanah Agost/BERITAMediacorp)

Tambahan lagi, berbekalkan sokongan kuat suami tercinta, yang juga satu-satunya pencari nafkah, Cik Sarimah terdorong untuk terus membela nasib lebih ramai kanak-kanak kurang berkemampuan.

'IBU PENSEL' KEPADA LEBIH 800 'ANAK'

Disebabkan itu jugalah, Cik Sarimah memulakan satu inisiatif bantuan yang dipanggil 'Project Pencil’ (Projek Pensel), yang mula dilakukan empat tahun lalu di Surabaya.

Menerusi inisiatif itu, Cik Sarimah mengumpulkan peralatan tulis yang didermakan orang ramai untuk diberikan kepada kanak-kanak memerlukan di luar negara.

(Gambar-gambar: Project Pencil/Facebook)

Kanak-kanak itu semua menjadi anak angkatnya dan mereka pula memberikan gelaran 'ibu pensel' kepada Cik Sarimah.

"Bila lihat keadaan anak–anak itu menulis dengan keadaan seperti dalam gelap tak ada lampu elektrik dan meja pun macam hanya sekeping kayu dan meja rotan dah pecah–pecah. Macam betul–betul terpukul sebab dari situ kita rasa bersyukur sangat," cerita Cik Sarimah mengenai nasib kanak-kanak di Surabaya.

Wanita Kota Singa ini tidaklah kaya atau berada. Tetapi beliau kaya budi dan kaya usaha. Beliau membuktikan bahawa dengan kemahuan dan bantuan kewangan orang-orang sekeliling, banyak perkara boleh menjadi kenyataan.

Lantaran itulah selepas Surabaya, semangat ihsan Cik Sarimah itu kemudian ‘dilahirkan’ pula ke Pattani di Thailand, Kelantan di Malaysia, serta Batam dan Cirebon di Indonesia. Kini, sebanyak sebanyak tujuh Projek Pensel sudah dilaksanakannya.

Beliau memberitahu BERITAMediacorp, sejauh ini menerusi tujuh projek tersebut beliau sudahpun membantu lebih 800 kanak-kanak yang dianggap seperti anaknya sendiri.

(Gambar-gambar: Project Pencil/Facebook)

RAKYAT S'PURA "BEGITU MURAH HATI"

Cik Sarimah menambah, projek-projek yang beliau jalankan dapat dijayakan menerusi sumbangan rakyat Singapura yang disifatkan sebagai "begitu bermurah hati".

Yang terbaru adalah projek di Tanjung Uban, Batam dengan sekitar 300 kanak-kanak memerlukan dibantu.

Projek di Batam itu dijalankan pada bulan Ramadan tahun ini, di mana beliau bekerjasama dengan rakannya yang bertugas di sebuah agensi pelancongan, Azhar Travels.

Oleh kerana sambutan yang diterima amat menggalakkan, beliau turut mengajak sekitar 30 rakyat Singapura yang ingin menghulurkan bantuan, untuk sama-sama turun padang dan melihat sendiri keadaan kanak-kanak di sana.

(Gambar-gambar: Project Pencil/Facebook)

BERHASRAT BUKA RUMAH ANAK YATIM

Bagi Cik Sarimah, sudah terlalu banyak berlaku kebinasaan yang menjejas kanak-kanak. Lantaran itu, beliau berharap kebaikan yang dilakukan dapat memberikan sedikit sinar kebahagiaan kepada mereka.

Selain itu beliau juga mahu menjadi contoh kepada anak-anak di bawah jagaannya.

"Tiba masanya untuk kita jadi contoh generasi akan datang membuat kebaikan dan jadikan dunia ini tempat yang lebih indah, lebih bahagia untuk generasi dan anak–anak akan datang. Gembira, hidup sama–sama kita berkongsi bumi yang sama bolehlah kita kongsi rezeki yang sama dan cinta yang sama, Insya Allah," ujar 'ibu pensel’ kepada BERITAMediacorp, dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibirnya.

(Gambar-gambar: Project Pencil/Facebook)

Malah, jika dikurniakan rezeki yang lebih beliau berhasrat untuk membuka sebuah rumah anak-anak yatim suatu hari nanti.

Bagi wanita berhati tulus ini, kepuasan yang dirasai tiada tolok bandingnya.

"Nikmatnya itu tak dapat nak diluahkan dengan kata-kata. Bila anak–anak itu terima hadiah ini dengan senyuman mereka, dengan mereka angkat tangan Alhamdulilah, memang amat tersentuh hati kita. Mereka terima dengan penuh rasa syukur dan terukir senyuman itu, itulah saya rasa hadiah terbesar untuk saya. Kepuasan itulah,” kata Cik Sarimah lagi.

Sedang ramai di kalangan kita semakin mengurangkan aktiviti apabila mencecah separuh umur, nampaknya bukan begitu wanita berusia 50 tahun ini.

‘Ibu Pensel’ ini semakin ligat menyebar luaskan semangat baik budi dan kasih sayang di luar garisan keluarganya sendiri. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan