Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Wanita lebih cenderung alami kegagalan buah pinggang kronik: Kajian

Kaum wanita didapati lebih cenderung menghidapi penyakit buah pinggang yang kronik (CKD) berbanding kaum lelaki.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita lebih cenderung alami kegagalan buah pinggang kronik: Kajian

(Gambar hiasan: Hayes Potter/Unsplash)

Diterbitkan : 04 Jun 2019 11:47AM Dikemas Kini : 04 Jun 2019 11:50AM

KUALA LUMPUR: Kaum wanita didapati lebih cenderung menghidapi penyakit buah pinggang yang kronik (CKD) berbanding kaum lelaki.

Mengikut kajian Institute of Health Metrics and Evaluation (IHME), secara puratanya sebaran penyakit CKD terhadap kaum wanita adalah 14 peratus berbanding 12 peratus pada lelaki.

Laporan Dialisis dan Pendaftaran Pemindahan Organ Malaysia 2016 pula mendapati jumlah kes CKD di negara itu sudah meningkat sehingga 94 peratus bagi jumlah pesakit dialisis baru dalam tempoh 10 tahun.

Pada 2016, terdapat hampir 40,000 rakyat Malaysia yang memerlukan dialisis tetap dan 90 peratus daripadanya memerlukan rawatan hemodialisis tiga kali seminggu.

Bagaimanapun, kaum lelaki lebih ramai memerlukan rawatan dialisis, manakala nisbah antara lelaki dan perempuan yang menjadi pesakit dialisis masih lagi kekal 55 peratus lelaki, berbanding 45 peratus wanita.

Ketua Jabatan dan Konsultan Kanan Nefrologi Hospital Serdang, Prof Dr Goh Bak Leong berkata, ada beberapa sebab berbeza yang menjadikan CKD lebih mudah bagi kaum wanita, termasuk ketersediaan kemudahan kesihatan untuk wanita di sesetengah negara.

“Ketika penyebabnya masih lagi tidak jelas mengapa penyakit ini memberikan kesan yang berbeza antara lelaki dan wanita, ia adalah sesuatu yang dikaji secara konsisten di seluruh dunia, di kedua-dua negara maju dan negara membangun,” katanya.

Kencing manis, tekanan darah tinggi dan faktor lain seperti penyakit genetik, kanser buah pinggang, pengambilan ubat penahan sakit dan tambahan ubat tanpa mendapat nasihat doktor, dinyatakan sebagai antara penyebab penyakit buah pinggang yang kronik.

Kadar kematian disebabkan CKD dalam tahun kebelakangan adalah mendatar, tetapi wanita mempunyai risiko kematian lebih tinggi, disebabkan mereka sering kali mengabaikan simptom yang ada dan tidak mendapatkan bantuan rawatan.

Bagaimanapun, menurut Dr Goh, terdapat cara yang boleh diambil untuk mengatasi peningkatan atau permulaan penyakit buah pinggang pada wanita, yang mana termasuklah pemeriksaan berkala untuk penyakit buah pinggang dan mengambil tindakan sepatutnya untuk menjaga tekanan darah dan kadar gula dalam darah.

“Mungkin wanita perlu menjaga diri dengan lebih baik dan lebih proaktif dalam mendapatkan rawatan selepas mereka didapati menghidapi penyakit itu.

“Saya rasa, dalam kebanyakan kes, wanita sering melambatkan rawatan mereka kerana komitmen kepada keluarga dan peranan mereka sebagai penjaga atau takut cara hidup mereka akan terganggu disebabkan rawatan.

“Tetapi ini merupakan sesuatu yang tidak benar,” katanya.
Pakar Nefrologi itu juga berkata, tidak mustahil untuk hidup dengan baik dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik, sebaik sahaja pesakit mendapatkan rawatan berkaitan.

Dr Goh turut memaklumkan bahawa badan bukan kerajaan seperti Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKFM) akan membantu, bertemu pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan mereka yang menderita akibat pelbagai penyakit berkaitan buah pinggang.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan