Images
  • kucing
    (Gambar: Bernama)

Wanita ini usahakan ruang istimewa bagi kucing dibelai, didandan

JITRA: Kebanyakan perkhidmatan penjagaan kucing biasanya beroperasi di premis-premis kedai, namun berbeza dengan Nuramalina Abdul Ghani yang memilih rumah dua tingkat di Taman Indera, Kedah untuk mengusahakan ‘Syurga Kucing’.

Cik Nuramalina, 26, berkata beliau membuat keputusan menjadikan rumah yang disewa itu sebagai tempat operasi perkhidmatan berkenaan yang bermula 11 Okt lalu bagi memberi kelainan istimewa kepada pelanggan antaranya perkhidmatan ‘play with cat’.

“Play with cat ialah kelainan yang kita berikan kepada pelanggan yang membolehkan pencinta kucing bermain dengan haiwan itu seperti berada di rumah sendiri. Kepada sesiapa termasuk pelajar yang ingin melepaskan tekanan untuk bermain dengan kucing, mereka boleh datang ke Syurga Kucing,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Katanya, untuk perkhidmatan ‘play with cat’, bayaran sebanyak RM5 (S$1.64) dikenakan untuk satu jam dan pelanggan perlu membuat janji temu terlebih dahulu bagi memastikan slot yang ditempah tidak bertembung dengan orang lain.

Terdapat 12 ekor kucing comel disediakan pihak Syurga Kucing di rumah itu dan pelanggan merasa selesa seolah-olah berada di rumah sendiri kerana suasana dan persekitaran rumah berkenaan yang sangat bersih dan kemas.

Selain kelainan itu, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan dandanan kucing dan penginapan bermalam yang boleh memuatkan antara 40 hingga 45 ekor kucing dengan harga antara RM15 (S$4.93) hingga RM18 (S$5.91) semalaman.

“Harga RM15 ini bagi pelanggan yang menyediakan makanan kucing dan pasir sendiri manakala sekiranya pihak kita sediakan semua ini harga satu malam ialah sebanyak RM18 manakala harga untuk dandanan kucing pula bergantung kepada saiz dan panjang bulu kucing tersebut,” katanya.

Cik Nuramalina yang berkelulusan bidang Multimedia daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata pihaknya sangat mementingkan aspek kebersihan dan penyediaan makanan kucing yang berkualiti dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik sekali gus memuaskan hati pelanggan. 

“Kita menggunakan makanan premium dari Jerman sebagai makanan kucing yang baik untuk penjagaan kulit dan bulu-bulu kucing malah air untuk minuman kucing ialah daripada air yang ditapis,” katanya yang turut memaklumkan perkhidmatannya itu beroperasi dari 10 pagi hingga 7 malam dan ditutup setiap Selasa.

Ditanya tentang faktor mendorongnya membuka perniagaan itu dalam keadaan ekonomi tidak menentu ekoran pandemik COVID-19 ketika ini, Cik Nuramalina yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik itu berkata ia adalah impiannya sejak kecil untuk memiliki perniagaan sendiri sebelum berumur 30 tahun.

“Saya pernah mengambil kursus jangka pendek selama sebulan dalam bidang Pengurusan Kucing. Usaha saya ini mendapat sokongan penuh daripada keluarga dan perniagaan saya dibantu ibu selain terdapat dua pekerja pada masa ini,” katanya.

Cik Nuramalina yang pernah bekerja dalam sektor swasta di bahagian teknologi maklumat (IT) dan pemasaran di Kuala Lumpur lebih dua tahun sebelum berhenti kerja pada Julai lepas itu berkata beliau menggunakan wang simpanannya sendiri di samping bantuan keluarga untuk modal permulaan membuka perniagaan itu.

- BERNAMA/HA/ha

Top