Images
  • devi
    Devi Apriliyani, pelumba motosikal nekd. (Petikan video: Reuters)

Wanita ini buat aksi motosikal nekad tanpa topi keledar

TAKENGON: Pengunjung ke sebuah karnival di Takengon, Indonesia, terkesima melihat aksi lasak Devi Apriliyani.

Wanita 20 tahun itu memperlihatkan kemahiran beliau beraksi menunggang motosikal merah jambunya, memerah laju mengikut bulatan dalam gelanggang Wall of Death iaitu pertunjukan aksi yang melibatkan menunggang motosikal di sekitar tembok menegak pada kelajuan tinggi.

Yang mengagumkan orang ramai adalah keberanian Devi berbuat aksi nekad itu pada ketinggian 10 meter hanya dengan memakai tudung tanpa menyarungkan topi keledar.

"Saya mahu buktikan bahawa wanita, meskipun biasanya dianggap kaum yang lemah, juga berupaya untuk melakukan perkara-perkara berbahaya," ujar pelumba motosikal nekad itu sebelum acara di Takengon, sebuah bandar dataran tinggi dekat wilayah Aceh yang konservatif di Indonesia.

Apriliyani mula berjinak-jinak dengan aksi motosikal tiga tahun lalu setelah mendapat inspirasi daripada abang tirinya yang juga seorang pelumba motosikal nekad.

Kini, beliau tidak gentar untuk melepaskan gagang motosikal sambil memecut pada kelajuan lebih 100 kilometer sejam ketika membuat pusingan di sekitar gelanggang Wall of Death.

Wanita yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata 18 bulan itu berkata beliau dibayar 300,000 rupiah (S$29.30) sehari dan boleh membuat sehingga 300 pertunjukan dalam sebulan. Ini dilakukan dengan merantau bersama suaminya yang juga bekerja bersamanya di taman hiburan bergerak tersebut.

Beliau menambah pendapatan keluarga sangat bergantung kepada jumlah pelawat ke karnival itu.

Sungguhpun adakalanya terkapai-kapai untuk hidup, Apriliyani berkata beliau menyukai kerjanya.  

- REUTERS/FZ/fz

Top