Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Wanita buat aduan selepas dikenakan harga 'melampau' untuk mi segera

Sebuah keluarga tergamam selepas mendapat tahu mereka perlu membayar RM50 (S$15) untuk semangkuk 'maggi ketam' di sebuah gerai tepi pantai.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita buat aduan selepas dikenakan harga 'melampau' untuk mi segera

Maggi ketam ini harganya RM50. (Petikan gambar dari video Facebook)

Diterbitkan : 20 Sep 2018 11:28AM Dikemas Kini : 20 Sep 2018 11:33AM

KOTA BHARU: Sebuah keluarga tergamam selepas mendapat tahu mereka perlu membayar RM50 (S$15) untuk semangkuk 'maggi ketam' di sebuah gerai tepi pantai.

Cik Siti Roshilah Rosli, 31 tahun, memberitahu Astro Awani bahawa harga yang tertera pada papan tanda harga di kedai berkenaan menunjukkan harga semangkuk maggi yang dihidang dengan ketam nipah hanya RM15 (S$5).

Ini yang membuat keluarganya terperanjat kerana perlu membayar RM100 (S$30) hanya untuk dua hidangan maggi (mi segera).

Bercerita lebih lanjut dengan Astro Awani, Cik Siti berkata keluarganya seramai 29 orang berkunjung ke sebuah pantai untuk beriadah sebelum berhenti makan di salah sebuah gerai yang ada di tepi pantai.

Antara sajian yang dipesan termasuk dua mangkuk maggi ketam, beberapa nasi putih dan tomyam, minuman teh 'O' ais, kopi 'O' dan segelas air lobak merah.

Meskipun hanya memesan makanan 'biasa', mereka terperanjat apabila dikenakan bayaran RM413 secara keseluruhannya. 

Apabila Cik Siti menanyakan tentang bil tersebut, peniaga terbabit bertegas bahawa harga yang dikenakan bagi semua makanan yang dipesan adalah betul.

Tidak puas hati, Cik Siti bagaimanapun menjelaskan bayaran sebelum berkongsi tentang insiden itu di laman Facebook selain meluahkan keprihatinannya di laman Facebook rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), lapor Astro Awani.

“Aduan saya mendapat maklum balas positif daripada pihak berkenaan dan mereka sudah menyerbu kedai makan tersebut. Status itu mendapat banyak perkongsian oleh pengguna Facebook dan banyak komen mengatakan mereka juga pernah terkena harga 'cekik darah' di kedai yang sama.

“Saya harap tindakan tegas diambil pihak berkuasa supaya memberi pengajaran kepada peniaga sebegini agar tidak mengambil kesempatan dan sewenang-wenangnya mengenakan harga yang tidak munasabah kepada pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Firdus Zakaria berkata, pihaknya sudah melakukan pemeriksaan di gerai berkenaan dan mendapati peniaga itu dipercayai cuba mengelirukan dengan mempamerkan tanda harga yang berlainan berbanding harga yang dikenakan kepada pelanggan.

“Peniaga memberi alasan bahawa harga ketam mengikut pasaran semasa dan memberitahu tidak sempat untuk menukar paparan harga. Peniaga ini dipercayai mengambil kesempatan kerana ketika itu musim cuti dan terdapat elemen berniat “sembelih” pelanggan.

“Sehubungan itu, pihak kami tidak akan bertolak ansur dan akan mengenakan tindakan tegas dengan memanjangkan kes ini kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya,” katanya. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan