Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Wanita bersalin dalam pesawat; dakwa tidak tahu diri hamil

Lavinia "Lavi" Mounga langsung tidak menyedari bahawa beliau akan menggendong bayi apabila beliau mengalami sakit perut semasa dalam pesawat.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita bersalin dalam pesawat; dakwa tidak tahu diri hamil

Cik Mounga bersama bayinya yang tidak disangka-sangka, di Pusat Perubatan Kapiolani Honolulu. (Gambar: Taylor Ursulum/Hawaii Pacific Health via AP)

Diterbitkan : 06 May 2021 11:48PM Dikemas Kini : 07 May 2021 12:44AM

HONOLULU: Lavinia "Lavi" Mounga langsung tidak menyedari bahawa beliau akan menggendong bayi apabila beliau mengalami sakit perut semasa dalam pesawat dari Utah ke Honolulu.

"Saya tidak tahu saya hamil dan kemudian bayi ini pula muncul entah dari mana," kata Cik Mounga dalam wawancara menerusi persidangan video dengan Jabatan Kesihatan Pasifik Hawaii.

Bayi lelaki itu, yang diberi nama Raymond Mounga, dilahirkan lebih awal dari yang dijangkakan pada usia kehamilan mencecah 29 minggu semasa ibunya dalam penerbangan untuk bercuti di Hawaii bersama keluarga.

Doktor perubatan keluarga di Jabatan Kesihatan Pasifik Hawaii, Dr. Dale Glenn, bersama para jururawat unit jagaan rapi bayi (NICU) Lani Bamfield, Amanda Beeding dan Mimi Ho, juga kebetulan berada dalam pesawat yang sama dan membantu Cik Mounga dan bayinya.

"Luar biasa dan mujur ada tiga jururawat NICU yang berada dalam pesawat sama dan seorang doktor yang dapat menstabilkan bayi dan memastikan semuanya OK," kata Cik Mounga.

Semasa memikirkan nama untuk bayinya, bapa Cik Mounga menyarankan "Glenn", sebagai penghormatan kepada doktor yang membantu beliau.

"Nama sangat penting dalam budaya kami," ujar Cik Mounga, yang berasal dari Tonga. "Saya betul-betul tidak mahu memberikan nama Glenn."

Sebaliknya, beliau meminta Dr. Glenn memberikan nama pilihan.

Dr Glenn kemudian menyarankan nama "Kaimana", yang diambil sebagai nama tengah bayi itu.

Bayi itu perlu terus berada di NICU sehingga mencecah cukup bulan, iaitu sekitar lagi 10 minggu, kata Cik Mounga.

"Semangat aloha sememangnya dapat dirasakan di sini," kata beliau tentang jagaan yang diterima di Hawaii.

"Sangat berbeza daripada bandar besar," tambah beliau. "Semuanya terasa selesa dan semua orang suka membantu." 

Sumber : AP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan