Images
  • COVID vaccine
    Gambar fail suntikan vaksin COVID-19. (Gambar: AP/Jean-Francois Badias)

Vaksinasi tahunan mungkin perlu bagi elak penularan COVID-19 di masa depan: Kajian

SINGAPURA: Antibodi yang memberi perlindungan daripada COVID-19 berkurangan pada kadar berbeza, dapat bertahan hanya beberapa hari bagi sesetengah individu tetapi kekal dalam individu lain selama beberapa dekad, menurut satu kajian yang dijalankan di sini.

Dapatan oleh para saintis dari Sekolah Perubatan Duke-NUS, Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan Makmal Penyakit Berjangkit Agensi bagi Sains, Teknologi dan Kajian (A*Star) mendapati bahawa tidak semua yang pulih dari COVID-19 kebal daripada jangkitan semula.

Jika daya tahan daripada vaksin berkurangan seperti antibodi yang dihasilkan secara semula jadi dari jangkitan lama, justeru vaksinasi tahunan adalah penting bagi mencegah penularan COVID-19 di masa hadapan.

Menggariskan dapatan itu dalam satu kenyataan media pada Rabu (24 Mac), Duke-NUS, NCID dan A*Star berkata kajian itu adalah penting bagi para penggubal dasar yang merancang program-program vaksinasi dan strategi untuk keluar dari pandemik.

Namun mereka menambah bahawa kajian lanjut diperlukan untuk menjelaskan dapatan itu sedang program vaksin dilaksanakan.

Kajian itu diterbitkan dalam jurnal perubatan antarabangsa The Lancet Microbe pada Selasa (23 Mac).

Para pengkaji memantau 164 pesakit COVID-19 di Singapura sehingga sembilan bulan dan menganalisa darah mereka bagi sebarang antibodi peneutralan - iaitu protein yang bertanggungjawab untuk mempertahankan sel-sel dari patogen COVID-19.

Data yang dikumpulkan dari para pesakit pada tahap bulan keenam digunakan untuk menghasilkan algoritma pembelajaran mesin yang membolehkan para saintis meramalkan bagaimana antibodi perlindungan itu berkurangan dengan masa.

- TODAY/HA/na

Top