Images
  • doctor generic
    (Gambar hiasan: Mediacorp)

Vaksin terbukti berkesan cegah barah pangkal rahim

LONDON: Suntikan vaksin bagi mencegah virus yang menyebabkan hampir semua barah pangkal rahim menunjukkan kesan yang ketara dalam menghentikan jangkitan.

Ia juga berkemungkinan dapat mengurangkan jumlah kes penyakit tersebut secara mendadak dalam masa sedekad, menurut para penyelidik pada Rabu (26 Jun).

Ketika membentangkan hasil analisis antarabangsa yang melibatkan 60 juta individu daripada negara-negara yang berpendapatan tinggi, para saintis Britain dan Kanada berkata, mereka sudah menemui bukti kukuh yang menunjukkan bahawa vaksin terhadap human papillomavirus (HPV) berkesan bagi mencegah barah pangkal rahim dalam persekitaran dunia sebenar.

“Kami dapat melihat penurunan pada jumlah jangkitan utama HPV yang menyebabkan kebanyakan penyakit pangkal rahim, dan kami juga dapat melihat kemerosotan pada jumlah penyakit pangkal rahim,” menurut saintis utama Kesihatan Awam England, David Mesher.

Pakar penyakit berjangkit di Universiti Laval di Kanada, Encik Marc Brisson, berkata hasil kajian itu turut menyarankan "pihaknya sepatutnya menyaksikan penurunan ketara pada barah pangkal rahim dalam masa 10 tahun akan datang."

Vaksin-vaksin HPV mula diluluskan pada 2007 dan sejak itu ia digunakan di sekurang-kurangnya 100 negara di seluruh dunia.

Syarikat farmaseutikal Britain, GSK, menghasilkan vaksin HPV, Cervarix, yang menyasarkan dua jenis virus itu manakala Merck menghasilkan suntikan Gardasil yang memberi tumpuan kepada sembilan jenis penyakit tersebut.

Di negara-negara yang menjalankan program imunisasi HPV, vaksin-vaksin tersebut lazimnya ditawarkan kepada gadis-gadis sebelum mereka aktif dalam hubungan seksual bagi melindungi mereka daripada barah pangkal rahim dan barah berkaitan HPV lain.

- REUTERS/NA/na

Top