Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Usia bukan penghalang lakukan senaman, tapi ini perkara perlu anda tahu...

Sering kali kita diingatkan bahawa umur bukan alasan untuk tidak bersenam. Namun, ada beberapa persediaan yang perlu dilakukan golongan lanjut usia khususnya, sebelum mereka melakukan senaman.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sering kali kita diingatkan bahawa umur bukan alasan untuk tidak bersenam. Namun, ada beberapa persediaan yang perlu dilakukan golongan lanjut usia khususnya, sebelum mereka melakukan senaman.

Menjelang acara Duta Kesihatan BERITAmediacorp di Karnival Keluarga WGS pada Ahad (8 Sep) kami bawakan pengalaman dua lelaki bergelar datuk yang masih aktif bersenam.

ATUK 60 TAHUN ANGKAT BESI

Usianya hampir mencecah 60 tahun tetapi Encik Syafawi Ho masih mampu mengangkat besi berat dan melakukan senaman "pull-up" di gimnasium.

Malah kadar lemak tubuh jurulatih bantuan kecemasan di Persatuan Palang Merah ini rendah, iaitu sekitar 13 peratus - sama seperti seorang atlit!

Semua ini berkat latihan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu bersama jurulatih peribadinya Firdauz Gahni yang turut mengawasi dietnya.

"Apabila saya berlatih sendirian, jika ada anak-anak muda, mereka tanya saya kenapa pakcik mahu angkat berat? Anda sudah tua. Bagi saya, usia setakat nombor," kata Encik Syafawi.

MANFAAT & TIPS BERSENAM

Mengulas tentang sesetengah orang yang kekal aktif walaupun pada usia lanjut, Ketua Operasi Asia sebuah syarikat yang menawarkan khidmat latihan senaman, Encik Chris Richards berkata: "Kami melihat kian ramai individu lanjut usia lebih berminat untuk membina stamina mereka. Ada yang berusia dalam lingkungan usia 70 tahun."

Beliau menambah, salah satu manfaat utama bagi mereka yang lebih tua untuk menjalani latihan adalah mereka boleh menjadi lebih bertenaga untuk melakukan kegiatan seharian mereka.

"Perkara-perkara seperti osteoporosis juga boleh dicegah," tambahnya lagi.

BERITAmediacorp juga diberitahu, sebelum anda memulakan sebarang aktiviti sukan atau senaman, anda haruslah mendapatkan rujukan doktor atau mendapat rujukan pihak pakar untuk memastikan anda boleh melakukan aktiviti tersebut dengan selamat.

PENGALAMAN ISMAIL MASJOR SATU PENGAJARAN UNTUK SEMUA

Encik Ismail Masjor, 62 tahun, adalah seorang datuk kepada lima orang cucu yang gemar bersukan seperti berbasikal dan bermain badminton sejak dari muda lagi.

Namun kecederaan di kaki yang dialami empat tahun lalu memaksanya mengurangkan segala aktiviti. Beliau langsung tidak menjalani terapi sehinggalah baru-baru ini.

"Apabila saya lihat orang bawa raket, betul-betul cemburu macam mana saya nak main lagi," ujar Encik Ismail.

Kini, pergerakannya bertambah baik selepas menjalani terapi selama lapan minggu selain melakukan senaman di rumah untuk menguatkan otot-ototnya. Bahkan, beliau kini kembali ligat di gelanggang.

"Alhamdulillah sudah boleh bermain balik. Kawan saya pun cakap 'Eh Mail, awak sudah tidak macam dulu. Sudah boleh bermain semula'," seloroh beliau.

PAKAR: URUT LAIN DARI TERAPI

Adakah salah faham berhubung urut dan terapi satu perkara biasa dalam masyarakat kita? Ini penjelasan seorang pakar fisioterapi dari The Rehab Lab SG.

"Ada semacam salah faham. Mereka fikir fisioterapi itu adalah urut, tapi itu sebahagian kecil yang kita boleh lakukan. Terapi lebih menjurus kepada melakukan banyak senaman yang sama ada untuk mengurangkan ketegangan, untuk menguatkan otot-otot dan sendi," jelas Encik Fadhli yang turut berkongsi satu senaman yang boleh dilakukan golongan warga senja di rumah.

"Kita pegang sesuatu lalu keluarkan kaki secara perlahan. Kita dapat rasa ketegangan di bahagian punggung," katanya.

Senaman seperti itu membolehkan warga senja menguatkan bahagian punggung lebih-lebih lagi mereka yang sakit lutut.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan