Images
  • murtabak seller
    (Gambar: BERNAMA)

Usahawan murtabak 'lava' sasar tembus pasaran S'pura

KEPALA BATAS: Usahawan murtabak keju lava, Rohayu Usop, merancang untuk memulakan francais bagi produk sejuk beku itu di Malaysia.

Usahawan berusia 36 tahun itu berkata kini kilangnya I ON Enterprise Frozen Food di Pongsu Seribu dekat sini menghasilkan enam jenis murtabak iaitu I ON Murtabak Keju Lava Ayam, I ON Murtabak Keju Lava Daging, I ON Murtabak Daging Lava, I ON Murtabak Ayam Lava, I ON Murtabak Kambing dan I ON Murtabak Original daging dan ayam.

“Selain membuka francais pertama di Malaysia bagi produk murtabak keju lava, kami juga merancang untuk memasarkan produk kami ke Singapura,” katanya ketika ditemui di kilangnya itu yang mula beroperasi pada 2014.

Menurut wanita itu, syarikatnya juga merancang untuk berbincang dengan syarikat penerbangan AirAsia untuk memasukkan murtabak keju lava dalam menu penerbangan syarikat tambang rendah itu.

Menurutnya, kilang yang diusahakan dengan suaminya Megat Ardy Megat Aziz, 40 tahun, sebagai rakan kongsi turut menghasilkan roti canai dan karipap dan samosa.

Katanya kilang mereka menghasilkan kira-kira 20,000 hingga 30,000 keping murtabak sejuk beku sebulan dengan mencatatkan jualan kira-kira RM325,000 (S$106,780) tahun lepas dan tahun ini meletakkan sasaran jualan RM500,000 (S$164,280).

Ibu kepada lima anak itu berkata beliau menyemai minat berniaga sewaktu membantu ibu mentua dan suaminya menjual murtabak di pasar malam lebih 10 tahun lepas dan memulakan perniagaan itu dengan memanfaatkan bantuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Sementara itu Pengarah FAMA Pulau Pinang, Habibah Sulaiman berkata syarikat I ON Enterprise Frozen Food merupakan sebuah syarikat yang boleh dicontohi apabila memulakan perniagaan dari bawah dan berjaya mencapai tahap sekarang.

Dengan bantuan yang turut diberikan oleh FAMA, katanya, syarikat itu menggunakan peluang yang diberikan dengan sebaik-baiknya dan terus mengorak langkah sehingga mencapai tahap kejayaan dan jualan yang membanggakan.

“Kita akan terus membantu usahawan seperti ini untuk proses seterusnya dengan membuka peluang untuk pasaran eksport iaitu di Singapura," katanya.

LAPORAN BERKAITAN:

- BERNAMA/TQ/tq

Top