Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Usahawan fesyen pakaian terpakai ini raih sambutan di luar negara

Minat mendalam terhadap fesyen pakaian terpakai atau 'bundle' mendorong wanita muda ini menceburi perniagaan menjual pakaian itu hingga berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Anggaran Waktu Membaca:
Usahawan fesyen pakaian terpakai ini raih sambutan di luar negara

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 16 Aug 2020 08:23PM Dikemas Kini : 16 Aug 2020 08:28PM

KOTA BHARU: Minat mendalam terhadap fesyen pakaian terpakai atau 'bundle' mendorong wanita muda ini menceburi perniagaan menjual pakaian itu hingga berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Che Anis Farahin Che Omar, 25 tahun, berkata minatnya terhadap pakaian terpakai bermula sejak di bangku sekolah dengan hampir kesemua pakaian yang dipakainya merupakan pakaian terpakai.

"Saya mengusahakan perniagaan ini bersama suami, Ahmad Afiqq Asmadi, 27 tahun, pada 2018 secara dalam talian atas nama Rumah Bundle.

"Kami membekalkan pakaian terpakai melalui platform Grailed dan Etsy yang khusus untuk pakaian era tersebut dan ia mendapat sambutan memuaskan termasuk dari luar negara seperti Singapura, Amerika Syarikat dan Jepun," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Teluk Kintang, Jalan Sabak baru-baru ini.

Berbekalkan modal RM50 (S$16.34) Che Anis mengusahakan perniagaannya selama dua tahun hingga berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Menurut lulusan Diploma Pengurusan Perniagaan daripada Politeknik Kota Bharu itu, beliau memanfaatkan ilmu yang ditimba semasa pengajian untuk menjalankan perniagaannya.

“Boleh dikatakan lebih 80 peratus yang dipelajari dalam bidang ini membantu saya terus berjaya dalam perniagaan, malah saya turut didedahkan cara berniaga dalam talian serta membuat iklan di laman sosial seperti Facebook dan juga Instagram,” kata ibu kepada seorang anak berusia dua tahun itu.

Menurutnya beliau memperoleh bekalan dari dalam dan luar negara, khususnya Thailand.

“Kebiasaannya, baju yang diperoleh akan dijual kepada pelanggan bermula harga serendah RM10 (S$3.27) sehingga RM150 (S$49) bergantung kepada keadaan dan juga jenama baju berkenaaan,” katanya.

Che Anis Farahin berkata susulan sambutan memuaskan itu, beliau membuka sebuah kedai atas nama Rumah Bundle yang kini menjadi tumpuan peminat pakaian terpakai berjenama selain turut membekalkan pakaian terpakai secara pukal ke luar negara.

“Saya tidak pernah sesekali menyangka perniagaan pakaian terpakai ini mampu memberi hasil pulangan yang lumayan, malah dapat menyamai pendapatan ‘orang makan gaji’.

“Justeru, saya sarankan siswazah yang masih menganggur agar menceburi bidang perniagaan dengan memanfaatkan platform media sosial kerana modal yang diperlukan tidak besar,” katanya yang kini meraih hasil jualan puluhan ribu ringgit sebulan.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan