Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Usah bawa anak demam ke rumah terbuka, nasihat pakar pediatrik

Lazimnya, ketika musim perayaan, anak kecil sering mengalami masalah kesihatan terutamanya demam, batuk dan selesema.

Anggaran Waktu Membaca:
Usah bawa anak demam ke rumah terbuka, nasihat pakar pediatrik

(Gambar: Pixabay/Semevent)

Diterbitkan : 15 Jun 2019 02:55PM Dikemas Kini : 15 Jun 2019 03:01PM

KUALA LUMPUR: Lazimnya, ketika musim perayaan, anak kecil sering mengalami masalah kesihatan terutamanya demam, batuk dan selesema.

Berdepan keadaan ini, ibu bapa perlu lebih peka dengan memastikan anak benar-benar sihat sebelum mengambil keputusan untuk membawa mereka pergi berjalan raya atau menghadiri rumah terbuka.

Kehadiran penyakit seperti cirit-birit, jangkitan kuman, influenza, selesema, batuk, demam campak dan penyebaran bakteria serta virus demam biasanya lebih banyak berlaku pada musim perayaan.

Pakar Pediatrik Hospital Pakar Avisena, Dr Roliza Ibrahim, yang ditemui BH Online, berkata ibu bapa juga perlu memantau kesihatan anak selain menjaga kebersihan seluruh ahli keluarga sepanjang menyambut lebaran.

Menurut Dr Roliza, keprihatinan soal kesihatan menjamin keluarga bebas daripada risiko penyakit ketika menghadiri rumah terbuka mahupun melakukan kegiatan kunjung-mengunjung.

ANAK KECIL MUDAH DIJANGKITI

“Biasanya pada musim perayaan, sanak-saudara berkumpul. Ini sudah menjadi tradisi untuk diteruskan. Bagaimanapun, bagi mereka yang ada anak kecil, perlu lebih berhati-hati.

“Elakkan membawa anak ke tempat sesak seperti rumah terbuka. Ini kerana sistem imunisasi anak masih lemah dan mudah dijangkiti penyakit. Elak berada di tempat sesak.

“Pada masa sama juga kita tidak mengetahui status kesihatan semua hadirin yang datang daripada pelbagai latar belakang,” jelas Dr Roliza lanjut kepada BH Online.

Beliau menambah ibu bapa perlu menunjukkan keprihatinan apabila bayi atau anak kecil berada terlalu hampir dengan individu tidak sihat, selain elak bayi dicium atau dipeluk mereka yang tidak sihat bagi mengelakkan jangkitan virus kepada si kecil.

Virus boleh dijangkiti melalui udara dan tangan yang tidak dibasuh selepas batuk jika seseorang individu itu menghidapi selesema.

Dr Roliza juga menyarankan ibu supaya tidak memberi anak makanan berperisa dan mengandungi pewarna yang tinggi. Makanan seperti itu banyak dijamu ketika musim perayaan. Sajian sedemikian tidak sepatutnya diberikan kepada anak kecil terutama yang mengalami masalah banyak kahak.

“Beri anak kecil makan makanan berkhasiat dan ibu boleh terlebih dulu sediakan sajian seperti bubur, puri, sayur atau buah segar. Pada masa sama, menasihatkan anak kecil supaya tidak mengambil minuman berkarbonat,” ujarnya seperti ditukil BH Online.

Berikut ini adalah panduan beraya untuk menjaga kesihatan si kecil:

  • Sediakan makanan berkhasiat
  • Telur, buah, bubur lembut dan sup sayur boleh disediakan dalam bekas tahan panas
  • Pastikan jadual berkunjung tidak terlalu padat
  • Pastikan anak makan ikut jadual seperti hari biasa bagi mengelakkan perut meragam
  • Kerap tukar lampin bayi bagi elakkan ruam lampin dan melecet di paha si comel.
  • Pakaikan pakaian daripada fabrik kapas supaya anak tidak berpeluh dan mengalami ruam badan.
  • Bawa gel pencuci tangan bagi membasmi kuman
  • Bawa bekalan air mineral, pastikan anak minum air mencukupi.
Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan