Images
  • Unta
    (Gambar: FAYEZ NURELDINE / AFP)

Unta tersingkir pertandingan 'ratu cantik' gara-gara disuntik botox

ARAB SAUDI: Sebanyak 12 unta tidak dibenarkan menyertai pertandingan 'ratu cantik' unta setelah disuntik botox semata-mata untuk menampakkan bahagian bibirnya lebih menawan.

Beribu-ribu ekor unta berarak ke Festival Unta Raja Abdul Aziz untuk dinilai keadaan bentuk bibir dan bonggol mereka, lapor laman Astro Awani.

Acara tahun ini dicemari skandal setelah hadiah wang tunai sebanyak 20 juta riyal (S$6.9 juta) bagi setiap kategori menyebabkan sesetengah pemilik sanggup menipu.

Ciri-ciri utama dalam pertandingan 'ratu cantik' unta itu adalah mata dan telinga yang besar, lapor laman The Guardian.

Namun terdapat syarat-syarat yang ketat terhadap penggunaan ubat-ubatan pada bibir unta atau mana-mana anggota yang dicukur atau potong.

Tahun ini juga, puluhan unta dilarang daripada menyertai pertandingan tersebut setelah doktor haiwan mendapati sebahagiannya sudah menjalani pembedahan plastik.

Unta-unta juga diberi suntikan botox di klinik doktor berkenaan, menurut laporan media Saudi.

"Mereka menggunakan botox pada bibir, hidung dan bibir bahagian atas unta, malah pada tulang rahang juga," Ali al-Mazrouei, anak seorang penggembala unta memberitahu akhbar UAE.

"Ini menjadikan saiz kepala unta lebih besar. Jadi apabila unta tiba, (penonton) akan mengatakan 'lihatlah, betapa besarnya kepala unta itu. Mata dan hidungnya besar'."

Setelah larangan itu dikenakan, ketua hakim pertandingan tersebut, Fawzan al-Madi, memberitahu Reuters: "Unta adalah simbol Arab Saudi. Dulu kami menjaganya untuk keperluan (harian). Sekarang kami menjaganya sebagai kegiatan masa lapang."

Festival sepanjang sebulan itu adalah yang paling besar di negara Teluk itu dan melibatkan sehingga 30,000 unta, lapor laman The Guardian. 

- Agensi berita/NK/nk

Top