Images
  • makkah11
    (Gambar fail: Mosa'ab Elshamy/AP)

UmrahFIT - Satu lagi kaedah untuk jemaah tunaikan ibadah 'tanpa ikut rombongan'

BERITAmediacorp: Bagi mereka yang pernah menunaikan umrah, proses menjalani ibadah tersebut mungkin masih terpahat di minda. Malah buku panduan doa semasa melakukan tawaf dan sa'i juga mungkin masih disimpan rapi di almari rumah.

Malah jika wujud keinginan untuk menjalani umrah sekali lagi, pasti sudah ada beberapa tempat ziarah yang ingin lebih dikunjungi atau waktu ibadah di luar solat yang lebih digemari. Secara ringkas, jemaah berulang pastinya lebih gemarkan kebebasan dalam menunaikan kewajipan mengikut keselesaan waktu masing-masing.

Lantaran itu, muncullah idea ‘UmrahFIT' (Free Independent Travellers atau secara Pelawat Bebas) oleh syarikat tempatan De Hayat Travel and Services, yang mana jemaah boleh memilih untuk ke kota suci Makkah dan Madinah tanpa mengikut rombongan agensi.

Konsultan bagi khidmat UmrahFIT ini, Encik Noor Azhar Amir Wahid berkata: "Sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, semakin ramai yang hanya meminta pihak agensi umrah untuk menguruskan visa sahaja dan mereka sendiri membuat tempahan tiket kapal terbang dan hotel mengikut sesuai bajet dan tarikh keberangkatan mereka."

Encik Noor Azhar menjelaskan ini bagi membantu sesiapa yang tidak dapat mengikut rombongan disebabkan jadual yang sempit.


(Gambar: Noor Azhar Amir Wahid)

Malah, khidmat ini juga boleh diambil oleh keluarga, teman-teman atau suami-isteri, dari dua hingga 10 orang, yang "tidak berminat untuk ikut rombongan umrah secara kumpulan kerana sebab-sebab peribadi".

"Dengan cara ini, mungkin jemaah UmrahFIT berasa mereka akan rasa lebih 'rileks dan fokus," ujarnya.

Khidmat seumpama ini juga antara dua yang disediakan di Singapura.

Sebelum ini, umrah DIY (Do It Yourself) diperkenalkan menerusi Shahidah Holidays dengan kaedah serupa, yang mana ia tidak lagi terikat kepada pakej-pakej tetap yang ditawarkan pihak GSA.

ANTARA ROMBONGAN DENGAN UMRAHFIT

Encik Noor Azhar juga memberi perbandingan antara rombongan agensi umrah seperti sedia ada sekarang, dengan khidmat umrahFIT.

Bagi rombongan agensi, jelas beliau, pihak agensi mengaturkan tarikh keberangkatan, hotel, makan, pengangkutan, visa, hadiah, pegawai dengan harga pakej yang ditetapkan oleh agensi itu. Malah, jemaah hanya mencari agensi mengikut tarikh yang sesuai dan juga mengikut bajet.

Umrah rombongan sebegini juga disarankan buat jemaah kali pertama.

Bagaimanapun, umrahFIT pula lebih sesuai bagi jemaah berulang, yang lebih ingin memberi tumpuan kepada ibadah secara peribadi tanpa ada ikatan atur cara berkumpulan, kata Encik Noor Azhar.

"(Sebilangan) mereka lebih utamakan privasi dan boleh buat pilihan jika mereka mahu makan di hotel atau tidak. Mereka juga akan memilih sendiri tarikh yang sesuai, boleh tempah dan beli tiket sendiri, sama ada Kelas Ekonomi atau Perniagaan.

"Pihak kami hanya akan aturkan visa umrah, hotel-hotel di Madinah dan Makkah dan pengangkutan," kata beliau. Beliau juga akan memberi taklimat dan kiriman WhatsApp kepada jemaah setibanya di sana.


(Gambar fail: BERITAmediacorp)

HARGA BERMULA DENGAN $1765 SEORANG

Harga bagi UmrahFIT untuk bilik empat orang bagi umrah lapan hari tujuh malam adalah $1,765 seorang, manakala ia berharga $2,290 untuk bilik dua orang bagi tempoh sama.

Harga bagi bilik empat orang untuk umrah 12 hari 11 malam adalah $2,145, manakala bagi bilik dua orang adalah $2,630.

Selain program ziarah dan khidmat mutawif yang tidak diwajibkan, tempoh di Makkah dan Madinah juga boleh dipilih mengikut kemahuan. Bantuan Perubatan Kecemasan (EMA) turut diberikan percuma kepada jemaah UmrahFIT, jelas Encik Noor Azhar.

"Ini sangat penting bagi jemaah. Jika mereka jatuh sakit atau perlu dirawat di hospital swasta sehingga pengurusan kematian, ada pihak yang akan bantu menguruskan," ujarnya.


UMRAHFIT DIMULAKAN DISEMBER DENGAN 3 KELUARGA

Sesi percubaan sudah dimulakan pada Disember 2018, yang mana tiga keluarga berangkat melalui UmrahFIT. Iklan bagi khidmat tersebut bagaimanapun hanya dimuat naik di laman Facebook beliau pada 2 Januari 2019.

"Alhamdulillah, ramai juga yang sudah bertanya,” tambah Encik Noor Azhar yang pejabatnya bertempat di tingkat dua Tristar Complex.

Beliau juga menjelaskan bahawa pihaknya juga akan berhubungan dengan pemandu dan mutawif yang ditugaskan, jika khidmat itu diambil. Malah, jemaah juga akan diberi nombor pemandu di sana.

"Jika mereka beli tiket penerbangan sendiri, mereka bertanggungjawab terhadap tiket dan penerbangan mereka itu. Pihak kami akan bertanggungjawab dengan khidmat yang kami sediakan dan akan membantu mereka jika mereka ada masalah semasa disana," kata beliau.

Bagi penginapan hotel dan baucar, para jemaah akan diberikan nombor pengesahan.

YAKIN UMRAHFIT AKAN BERKEMBANG

Dengan semakin jemaah yang muda dan lebih celik teknologi, Encik Noor Azhar yakin UmrahFIT akan terus berkembang.

"Cuma saya nasihatkan bagi jemaah yang tidak pernah langsung ke sana, harap dapat ikut rombongan kerana mereka akan lebih memahami perjalanan Ibadah umrah," kata beliau.

Pada November dan Disember 2018 sahaja, 13,000 jemaah Singapura membuat pendaftaran untuk menunaikan ibadah umrah.

50 peratus daripada jemaah semasa musim cuti sekolah itu adalah golongan yang dianggap muda - berusia 40 tahun ke bawah. Di Tanah Suci juga, khidmat serta kemudahan pengangkutan seperti kereta api laju semakin memudahkan pergerakan jemaah dari satu tempat ke satu tempat lain.

Semua ini menjadi faktor pendorong untuk para jemaah lebih berani melakukan umrah ‘privet’ tanpa rombongan. Lantaran itu juga, inisiatif seperti Umrah DIY dan UmrahFIT dijangka terus menarik perhatian golongan muda celik IT dan lebih berdikari, untuk mencubanya. 

- BERITAmediacorp/nk

Top