Images
  • main (1)

Udara dalam rumah juga boleh jadi toksik dan ini cara mudah hapuskannya - Letak pokok!

BERITAmediacorp: Sekarang ini musim kita mengemas rumah untuk Hari Raya yang bakal menjelma tidak berapa hari lagi. Bagi anda yang tidak pernah memikirkan soal menyertakan pokok sebagai hiasan, mungkin ini satu idea yang boleh anda pertimbangkan.

Sebahagian anda mungkin tidak sedar bahawa walau berapa kerap anda mengemas dan membersihkan rumah ia tidak menjamin ruang udara yang bebas daripada gas toksik. Tanpa disedari terdapat pelbagai partikel racun dalam udara di sekeliling rumah.


Menurut satu kajian, udara di dalam rumah boleh menjadi lebih tercemar daripada udara di luar rumah disebabkan bahan toksik yang boleh didapati dalam produk pembersih rumah seperti sabun, racun serangga, cat, penyembur minyak wangi dan sebagainya.

Walaupun tanda-tanda pencemaran di rumah sukar dikesan, ia boleh ditangani dengan mudah sebenarnya. Selain mencantikkan rumah, tanaman-tanaman menghijau yang diletakkan di pelbagai sudut di dalam rumah dapat membantu untuk menyerap gas yang berbahaya seperti nitrogen oksida, xylene, benzene dan bahan-bahan kimia yang lain.


Menurut satu eksperimen yang dilakukan oleh agensi angka lepas Amerika, NASA, mendapati tanaman segar di dalam rumah dapat menghapuskan udara yang beracun yang boleh menyebabkan barah.

Melalui penyelidikan ini, para saintis juga mendapati tumbuhan segar merupakan pilihan yang paling efektif untuk membersihkan udara. Dan, lagi besar permukaan daunnya adalah lebih baik kerana ia dapat mempengaruhi kadar udara yang lebih segar.

Berikut ini BERITAmediacorp membariskan 10 tumbuhan yang popular, mudah dijaga dan dari segi belanja pula tidak mahal untuk anda pertimbangkan:

10 TUMBUHAN IDEAL UNTUK RUMAH

1. Aloe vera (Lidah buaya)

Tumbuhan ini sememangnya popular serta mudah diperolehi dan dijaga. Ia mampu menyerap udara yang tercemar dengan berkesan selain sering digunakan untuk perawatan kulit.


2. Pokok Spider (Chlorophytum comosum)

Sesuai untuk diletakkan di dalam rumah dan pejabat, pokok ini boleh berbunga dan mempunyai lebih 200 jenis. Penjagaannya juga amat mudah, siramkan air 2-3 kali seminggu. Dapat membebaskan toksik seperti karbon monoksida dan nitrogen dioksida.

Setelah meletakkan tanaman ini dalam tempoh 24 jam, ruang akan bebas dari kimia dan racun.


3. Dracaenas

Pokok ini tampil dalam pelbagai bentuk, saiz dan warna. Untuk penjagaan, pastikan tanahnya sentiasa lembap dan tidak terlalu berair untuk elakkan pokok mempunyai jangka kehidupan yang pendek.

Tapi, jika anda mempunyai peliharaan haiwan di rumah seperti kucing, elakkan daripada menyimpan pokok ini. Kucing dikatakan boleh muntah atau mengeluarkan air liur yang berlebihan selain sakit mata jika mendekatinya.


4. Golden pothos

Juga dikenali sebagai devil’s ivy, pokok ini boleh membesar sehingga 8 kaki panjang. Penjagaannya juga amat mudah, tidak perlu disiram air setiap hari. Seperti Dracaenas, jika anda mempunyai peliharaan kucing, jauhkan ia dari pokok ini.


5. Chrysanthemums

Pokok ini juga digelar ‘mums’ di kalangan pakar bunga dan merupakan pokok yang paling mujarab untuk membersihkan udara dan memberi oksigen yang bersih. Ia dapat menghapuskan toksin seperti ammonia.

Rata-rata pokok ini dapat berbunga dalam tempoh 6 minggu dengan meletakkannya di tempat yang bercahaya, tapi elakkan pancaran mentari yang terlalu terik. Pastikan pasirnya sentiasa lembap setiap hari.


6. Bamboo Palms

Cantik bila diletakkan di ruang balkoni tapi elakkan daripada terkena pancaran matahari. Melembapkan udara dan memberikan kedinginan pada musim panas. Boleh diletakkan dalam rumah dan mesra binatang peliharaan.


7. English Ivy

Tanaman ini dapat menyerap partikel debu serta bulu halus. Lantas tanaman ini sangat tepat dan bermanfaat terutama bagi yang mempunyai masalah semput. Tumbuhan ini boleh merangkak dan menjadi penghias dinding.


8. Dragon Tree

Ia mempunyai batang yang tinggi dan daunnya panjang berwarna hijau tua. Oleh kerana ia cepat meninggi, pokok ini sesuai ditempatkan di sudut rumah atau balkoni. Mampu menyerap racun yang hadir di udara.


9. Snake Plant (Lidah mertua)

Tanaman ini mudah dijaga dan sesuai diletakkan di kamar mandi kerana ia mampu menyerap gas bertoksik yang wujud di tempat gelap dan ia tidak memerlukan cahaya matahari. Dapat membersihkan udara di dalam rumah dengan baik terutama pada sebelah malam. Ini antara ciri yang membuatnya unik!


10. Ferns (Daun pakis)

Antara tumbuhan segar yang paling berkesan untuk menghapuskan gas formaldehyde (toksik yang menyebabkan kanser). Ia sesuai untuk dijadikan hiasan dinding atau di sudut kegemaran anda yang lain. Ferns dapat membantu menghapuskan gas xylene dan toluene yang sering hadir di udara di dalam rumah.


Semua tanaman segar ini mudah didapati di kedai-kedai bunga terkemuka. Kehadirannya juga mempunyai banyak manfaat dan dapat dijadikan sebagai penapis udara, membantu untuk menyerap udara kotor dan sekaligus menghapuskan toksik di dalam rumah.

Secara tidak disedari, sikit demi sedikit produk-produk ini akan membebaskan gas beracun yang boleh menjejas kesihatan seseorang dari semasa ke semasa.

Selamat mencuba! 

- BERITAmediacorp/na

Top